Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Seorang warder penjara berusia 33 tahun, Mohammad Azizan bin Liusin, telah mengaku bersalah atas dua kesalahan di bawah Seksyen 6(a) Akta Pencegahan Rasuah, Bab 131 di Mahkamah Majistret hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus bin Mohammad mendedahkan Mohammad Azizan, bertugas di Penjara Maraburong, telah membenarkan komunikasi tanpa kebenaran melalui surat antara seorang banduan di Penjara Maraburong dengan individu di luar penjara. Komunikasi itu berlaku tanpa kebenaran yang sah daripada pegawai yang bertanggungjawab di Jabatan Penjara.
Menurut siasatan Biro Mencegah Rasuah (BMR), sebagai balasan atas tindakannya, Mohammad Azizan didapati menerima ganjaran sebanyak $600 pada 30 November 2020 dan $50 pada 3 Disember 2020.
Pemangku Majistret Kanan, Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid telah menetapkan 2 Januari untuk menjatuhkan hukuman.
BMR mengingatkan orang ramai, termasuk penjawat awam yang berkhidmat di bawah kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, supaya tidak menyalahgunakan kuasa atau kedudukan yang diamanahkan kepada mereka dan tidak terlibat dalam rasuah.
Rasuah adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan denda sehingga $30,000 dan penjara selama tujuh tahun jika disabitkan kesalahan.