Warehouse Market 2020 bermula

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Dengan pendekatan unik yang diilhamkan daripada jualan gudang, D’Sunlit Sdn Bhd menganjurkan Warehouse Market 2020 di mana perniagaan-perniagaan tempatan berkumpul di bawah satu bumbung untuk mempamerkan produk terbaik mereka.

Acara jualan selama lima hari bermula hari ini di Kawasan Letak Kereta Bawah Tanah Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), di sini, telah dirasmikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut sama merasmikan acara itu ialah Pengiran Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit, Pengarah Eksekutif D’Sunlit Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Danial bin Haji Hanafiah dan Pengarah Urusan D’Sunlit, Jackson Ting.

Dato Paduka Haji Danial dalam ucapannya berkata, acara berkenaan memberi peluang kepada para peserta pameran untuk berkumpul dan mempamerkan produk mereka dari pelbagai kategori dengan harga potongan.

Dengan tahun 2020 hampir ke penghujungnya, beliau berkata, ini juga merupakan peluang terbaik bagi pengguna untuk mendapatkan tawaran dan pengalaman menarik daripada pasaran gudang.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bersama Pengiran Salleh Ab Rahaman, Dato Paduka Haji Danial dan Jackson Ting semasa majlis pelancaran acara jualan berkenaan. – Gambar oleh Bahiyah Bakir
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bergambar ramai bersama warga DST yang turut menyertai acara jualan gudang tersebut.
Warga NBT Brunei bersama kereta Noah yang turut dipamerkan semasa acara lima hari berkenaan.

Jualan gudang berkenaan memberikan pengalaman baharu dan menyoronokan, di mana pelanggan boleh memilih pelbagai produk dengan harga berpatutan daripada peniaga dan syarikat tempatan.

Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik juga diadakan seperti Shop & Win, mencari barangan bertanda W di mana pelanggan boleh membeli barang dengan harga murah dan peraduan The Wear-house untuk para pereka fesyen.

Antara yang menyertai acara itu ialah imagine Sdn Bhd yang menawarkan produk bundle terkini manakala itu, DST menawarkan produk MOBI yang dilancarkan baru-baru ini.

Selain itu, NBT Brunei juga mempamerkan model kereta terkini seperti Toyota Noah, Toyota Wigo dan Toyota Cross.

NBT juga menganjurkan peraduan Wear House OOTD di mana mereka yang ingin menyertai peraduan berkenaan hendaklah memakai pakaian terbaik, dan bergambar di kawasan Seni Grafiti yang disediakan bersama Toyota Wigo dan seterusnya memuat naik ke Instragram peribadi dengan tag yang ditetapkan.

Dalam pada itu, jawatankuasa penganjur juga mengetatkan prosedur operasi standard bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini dan mematuhi semua langkah berjaga-jaga dan akan mengambil langkah-langkah keselamatan berdasarkan peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa yang berkaitan.