Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Seorang lelaki warga Malaysia yang berdepan dua tuduhan memiliki sejumlah karton rokok, arak dan minuman keras tanpa cukai dihukum empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Low Tze Yen, 37, mengaku bersalah memiliki dua karton rokok, dua botol arak dan 108 tin minuman keras serta turut mengaku salah untuk tuduhan kedua iaitu memiliki 14 karton rokok dan enam botol arak.
Majistret Kanan Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menjatuhi empat bulan penjara untuk setiap tuduhan, yang mana hukuman ke atas defendan diarahkan untuk dijalankan secara serentak.
Defendan didakwa melakukan kesalahan itu apabila barang seludup itu ditemui dalam keretanya di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah berdekatan bangunan X-Ray pada 14 Februari 2018 sekitar jam 8 malam.
Defendan sebelum ini mempunyai rekod kesalahan yang sama.