Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga asing didenda $10,000

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – “Saya bukan seorang penyeludup,” dakwa seorang lelaki warga Malaysia yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan cuba membawa keluar bahan api dan beras dari negara ini.

    Neo Hwee Wei, 42, bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 34.8 liter bahan api RON 97, 1.52 liter Ron 85 dan dua plastik beras seberat 10.5 kilogram, enam tahun lalu.

    Dia dijatuhi denda $10,000 atau berdepan hukuman enam bulan penjara oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman.

    Neo Hwee didakwa melakukan kesalahan itu apabila pegawai pencegah kastam menemukan bahan api dan beras di dalam keretanya ketika ditahan di kawasan luar Pos Kawalan Labu, Temburong pada 25 April 2013 kira-kira jam 9:15 malam.

    Terdahulu, defendan dalam kata rayuan meminta mahkamah supaya hukuman diringankan dan mendakwa bahan api itu bukan untuk dijual tetapi untuk kegunaan keretanya dan beras itu pula terpaksa dibawanya memandangkan dia hendak bercuti dan khuatir jika ditinggalkan lama, beras itu diserang kutu.

    Majistret Hajah Ervy membenarkan defendan membuat bayaran denda $5,000 hari ini, dan selebihnya lagi $500 setiap bulan sehingga habis.

    Pegawai pendakwa kastam memaklumkan mahkamah bahawa harga bahan api yang ada pada tertuduh ketika itu ialah $20 dan beras ialah $12.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda