Oleh Nour Maghfirah
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 60 tahun telah diperintahkan untuk menjelaskan denda sebanyak $13,000 oleh Mahkamah Majistret pada 25 Mac lalu kerana gagal mengisytiharkan wang tunai RM207,000 semasa memasuki Negara Brunei Darussalam melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh.
Kegagalan membayar denda akan mengakibatkan penjara sembilan bulan.
Johnny Lau Hin Foon, apabila mengaku bersalah, disabitkan di bawah Seksyen 37 (2) Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012 yang memerlukan pengembara melaporkan pergerakan wang tunai melebihi $15,000.
Timbalan Pendakwa Raya Emily Goh mendedahkan kesalahan itu berlaku pada 6 Mac 2023, kira-kira jam 3:15 petang ketika Lau memandu masuk ke Brunei dari Miri, Sarawak dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam. Operasi penguatkuasaan bersama melibatkan Biro Kawalan Narkotik dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja membawa kepada penemuan dua beg plastik hitam mengandungi sejumlah RM207,000 di dalam konsol dan kompartmen bahagian tengah kereta itu.
Majistret Qamarul Affyian Abdul Rahman mendengar bahawa siasatan mendapati wang tunai itu adalah milik majikan Lau, yang telah mengarahkannya untuk menyerahkan wang itu kepada seorang individu di Brunei yang hanya dikenali sebagai Jess.
Lau, seorang tukang kayu di sebuah syarikat di Malaysia, sebelumnya tidak pernah disabitkan sebarang kesalahan.
