Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga asing didenda $2,500

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Seorang lelaki warga Filipina yang memandu di bawah pengaruh alkohol dihukum denda $2,500 dan ditegah daripada memandu selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Hukuman dijatuhkan Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman terhadap Armando Dela Cruz Ynzon, 36, yang didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Kampung Salambigar pada 21 Januari 2018 kira-kira jam 3 petang. Gagal membayar denda itu, tertuduh diperintahkan untuk menjalani hukuman dua bulan penjara.

    Kejadian bermula apabila tertuduh pergi ke rumah rakannya di Kampung Salambigar, di mana tertuduh meminum arak sebaik selesai menikmati hidangan. Tertuduh kemudian bertindak emosi dan agresif selepas minum arak tersebut dan cuba ditenangkan oleh rakannya yang menyuruhnya untuk berehat dan tidur.

    Rakan kepada tertuduh kemudian pergi ke kedai berhampiran bersama anak saudaranya.

    Ketika tiba di kedai itu dan tanpa disedari, tertuduh yang mengekori rakannya terus melanggar bahagian tepi kereta rakannya sebanyak dua kali.

    Tertuduh turut melanggar gerai berhampiran kedai tersebut dan turut melanggar dua buah kereta lain yang diletakkan di kawasan cuci kereta dan turut merempuh kedai tersebut.

    Tertuduh mengaku mabuk selepas meminum arak itu dan mendakwa tidak ingat kejadian yang berlaku.

    Kerosakan pada kedai itu dianggarkan berjumlah $1,163.05 manakala kerosakan pada kereta rakan tertuduh sebanyak $1,110 dan kerosakan pada dua buah lagi kereta, masing-masing berjumlah $150 dan $400.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Dr. Mohammad Hussin Ali bin Idris.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda