Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman kelmarin telah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas seorang warga Filipina kerana tinggal lebih masa di Negara Brunei Darussalam setelah pas imigresen (pas lawatan sosial) mansuh.
Menurut kenyataan yang dibacakan di mahkamah, Madon Jailani Morrok yang berusia 64 tahun telah ditahan pada 13 Mei kira-kira jam 10:17 pagi dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan daripada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Buruh, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Perikanan di Pantai Serasa.
Semasa operasi tersebut defendan telah ditemui dalam sebuah bot bernombor pendaftaran B913 Ocean Marine 1 dan didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Dia kemudian dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JIPK untuk siasatan lanjut. Siasatan kemudiannya mendedahkan bahawa pas lawatan sosialnya telah tamat tempoh pada 4 Mac 2018. Defendan juga mengaku pernah bekerja secara rawak.
Pendakwaan tertuduh dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, JIPK, Hadiyatul Majeedah binti Awang Usin.






