DENPASAR, 26 APRIL – Pelakon Kanada yang mendakwa dirinya sebagai guru spiritual berdepan pengusiran dari pulau Bali, Indonesia, selepas sebuah video tular menunjukkan dia menari bogel di sebuah pergunungan suci.
Jeffery Craigen memuat naik video dirinya melakukan tarian kebudayaan Maori iaitu Haka sambil berbogel di puncak Gunung Batur, gunung berapi yang dianggap tempat suci bagi kebanyakan penduduk Bali.
Dia ditahan dan disoal siasat kelmarin berikutan aduan daripada pengguna media sosial menuduhnya tidak menghormati nilai keagamaan penduduk Bali.
Craigen ketika ini menunggu untuk dipulangkan – tetapi pihak berkuasa berkata syarikat penerbangan enggan membantunya kerana dia belum menerima vaksin COVID.
“Syarikat penerbangan tidak bersetuju (untuk membawanya),” kata ketua pegawai imigresen Denpasar, Tedy Riyandi kepada AFP hari ini.
Nama pelakon itu akan disenaraihitamkan dan dilarang untuk memasuki Bali pada masa akan datang, kata pegawai.
Craigen berada di Indonesia sejak penghujung tahun 2019 sebagai seorang pelancong dan untuk mempelajari rawatan alternatif bagi osteoporosis, menurut ketua pegawai imigresen Bali, Jamaruli Manihuruk.
Dia mendakwa tidak mengetahui bahawa gunung itu merupakan tempat suci.
“Bagi semua pengunjung yang melawat Bali, diminta untuk menghormati undang-undang dan budaya kami,” kata Manihuruk. – AFP