Oleh Yusrin Junaidi
BELAIT, 28 NOV – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima laporan mengenai seorang lelaki warganegara asing yang bekerja sebagai buruh di salah sebuah syarikat di Daerah Belait ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan berdekatan stesen jana kuasa elektrik, Pasar Serbaneka, Kuala Belait, hari ini.
Kejadian dilaporkan sekitar 7 pagi melalui talian kecemasan polis 993.
Sejurus menerima maklumat, keanggotaan penyiasat balai segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.
Turut hadir ialah ahli paramedik bertugas yang turut mengesahkan kematian mangsa berkenaan di tempat kejadian.
Mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi menjalani bedah siasat untuk mendapatkan punca sebenar kematian.
PPDB memohon kepada orang ramai terutama saksi-saksi yang mengetahui atau ada menyaksikan insiden berkenaan disarankan untuk tampil ke balai-balai polis berdekatan bagi memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
