Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun, maut dirempuh sebuah kereta di kawasan Kampung Tanjung Nangka, malam tadi.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) mengesahkan telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada sekitar jam 9:32 malam dan anggota Balai Polis Sengkurong telah menjalankan tindakan segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik bertugas dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Sehubungan itu, PDB menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya untuk sentiasa berwaspada semasa memandu dan sentiasa akur dengan mengikuti had laju yang telah ditetapkan.
Selain itu, para pejalan kaki turut ditegaskan untuk lebih berhati-hati dan semestinya tidak bersikap ambil mudah serta sambil lewa tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri semasa menyeberang atau melintasi jalan raya.
Perlu diingatkan bahawa memandu pada waktu malam juga mempunyai risikonya yang tersendiri di mana darjah penglihatan dan jarak pandangan adalah terhad yang menjejaskan pemanduan berbanding pada siang kerana bergantung sepenuhnya kepada lampu jalan, lampu kereta sendiri dan juga lampu pemandu kenderaan lain.
