BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Seorang lelaki warganegara Bangladesh, Khairul Bashar yang didakwa dengan enam pertuduhan pemerdagangan orang di bawah Bab 4 Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang, 2004 telah dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun enam bulan, denda sebanyak $120,000 (jika gagal membayar, hukuman penjara selama 60 bulan) dan 12 sebatan, kelmarin.
Defendan telah disabitkan selepas membuat pengakuan bersalah semasa perbicaraan berlangsung.
Defendan mengaku telah merekrut enam lelaki warganegara Bangladesh antara 1 Januari 2018 hingga 30 Mac 2019 dengan menipu bagi tujuan eksploitasi buruh paksa di Negara Brunei Darussalam.
Hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut ialah denda tidak melebihi $1 juta, pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak kurang dari empat tahun tetapi tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.
Dalam menjatuhkan hukuman, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menyatakan bahawa dengan adanya ramai mangsa telah meningkatkan keseriusan kesalahan itu kerana ia menunjukkan bahawa perbuatan defendan bukanlah bersifat oportunistik atau terhad kepada satu perbuatan sahaja sebaliknya merupakan corak eksploitasi yang berterusan yang mengambil kesempatan ke atas sekumpulan lelaki yang lemah.
Mahkamah mengambil kira kesengsaraan yang jelas yang dialami oleh mangsa, akibat janji palsu defendan mengenai peluang pekerjaan yang menguntungkan di Negara Brunei Darussalam, sebagai satu faktor yang memberatkan.
Mangsa-mangsa telah dipaksa untuk memenuhi tuntutan kewangan defendan semasa proses pengambilan, hanya untuk berdepan dengan pengangguran atau pekerjaan bergaji rendah dan tidak tetap, terperangkap dalam keadaan ketergantungan dengan pasport mereka dirampas dan diugut untuk dihantar balik sekiranya mereka gagal membuat bayaran bulanan kepada defendan.
Selaras dengan hujahan pihak pendakwa, mahkamah selanjutnya turut menekankan bahawa kesalahan pemerdagangan orang merupakan suatu pelanggaran hak asasi manusia yang berat dan kejam, yang menyebabkan mangsa dikawal sepenuhnya oleh pemerdagang, kehilangan kebebasan diri dan menjadikan mereka alat eksploitasi.
Timbalan Pendakwa Raya Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman dan Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli mewakili pendakwa raya manakala sefendan diwakili oleh peguambela dari Tetuan Daud Ismail & Company.

