SINGAPURA, 17 NOV – Sebuah mahkamah di Singapura hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara sembilan hari ke atas seorang lelaki Australia kerana menyerbu ke arah bintang filem Ariana Grande pada tayangan perdana Asia filem Wicked: For Good minggu lalu.
Grande dan selebriti lain turut menghadiri malam pembukaan filem tersebut di Universal Studios di bandar negara itu, apabila lelaki berkenaan yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai Johnson Wen, 26, telah melompat melepasi penghadang dan memeluk bintang tersebut.
Klip video yang tular di internet menunjukkan lelaki itu memeluk Grande yang jelas terkejut sebelum dia melompat-lompat sambil tersenyum dan melambai ke arah orang ramai.
Rakan pelakon Grande, Cynthia Erivo, kemudian bergegas melindunginya dan lelaki itu segera ditangkap oleh pengawal keselamatan sebelum diangkat kembali ke seberang penghadang.
Wen ditahan beberapa jam kemudian dan didakwa kerana ‘mengganggu ketenteraman awam’.
“Perbuatan tersebut telah dirancang terlebih dahulu,” kata Hakim Mahkamah Daerah Singapura, Christopher Goh sebelum menjatuhkan hukuman sembilan hari penjara.
Hukuman itu jauh lebih rendah daripada maksimum yang dibenarkan undang-undang iaitu tiga bulan penjara, denda AS$1,500 atau kedua-duanya. – AFP


