Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga Australia jatuh sakit di Antartika berjaya diselamatkan

    WELLINGTON, 5 SEPT – Seorang warga Australia yang jatuh sakit di sebuah pangkalan terpencil di Antartika pulang ke rumah dengan kapal pemecah ais selepas misi menyelamat yang sukar, kata pihak berkuasa hari ini.

    Lelaki tersebut bekerja di stesen penyelidikan Casey ketika dia mengalami apa yang digambarkan oleh pihak berkuasa sebagai keadaan kesihatan yang memerlukan pemeriksaan dan penjagaan pakar.

    Kapal pemecah ais RSV Nuyina meninggalkan Australia minggu lalu dan membuat perjalanan ke selatan lebih 3,000 kilometer (km), memecahkan lautan ais untuk sampai ke lokasi 144km dari pangkalan, menurut Divisyen Antartika Australia dalam satu kenyataan.

    Dari sana, dua buah helikopter telah dikerah daripada dek pada Ahad dan tiba di pangkalan selepas hampir sejam demi menyelamatkan lelaki tersebut.

    “Fasa pertama pemindahan dilakukan dengan selamat dan berjaya, dan kapal kini dalam perjalanan pulang ke Hobart,” kata Robb Clifton, pemangku pengurus besar operasi dan logistik divisyen itu. “Menghantar anggota ekspedisi kembali ke Tasmania bagi penjagaan perubatan pakar adalah keutamaan kami.”

    Lelaki itu dijangka tiba di Australia minggu depan. Sehingga itu, Clifton berkata, dia akan dirawat di kemudahan perubatan pemecah ais yang dilengkapi khas oleh doktor perubatan kutub dan kakitangan dari Hospital Diraja Hobart.

    Pihak berkuasa berkata mereka tidak akan mendedahkan nama atau keadaan perubatan lelaki itu bagi melindungi privasinya. – AP

    Imej yang diterbitkan oleh Divisyen Antartika Australia menunjukkan kapal pemecah ais RSV Nuyina digambar dari udara. Seorang warga Australia yang jatuh sakit di sebuah pangkalan terpencil di Antartika pulang ke rumah.- AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda