Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga Australia mengaku tidak bersalah atas jenayah perang

    SYDNEY, 3 OKT – Satu-satunya tentera Australia yang didakwa melakukan jenayah perang di Afghanistan mengaku tidak bersalah hari ini, namun pendakwa berkata dia tidak mungkin dibicarakan sebelum 2027.

    Oliver Schulz, 44, didakwa menembak lelaki Afghanistan, Dad Mohammad, tiga kali di kepala di sebuah ladang gandum di wilayah Uruzgan pada Mei 2012.

    Schulz membuat penampilan pertamanya di Mahkamah Agung negeri New South Wales di Sydney hari ini dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan jenayah perang membunuh.

    Tarikh perbicaraan biasanya ditetapkan semasa penampilan seperti ini, tetapi kebimbangan keselamatan negara telah menghalang pihak pendakwa dan peguam bela daripada melihat sebahagian besar bukti terhadap bekas anggota elit Rejimen Perkhidmatan Udara Khas itu.

    “Tidak timbulnya prospek realistik perbicaraan bermula pada 2026,” kata pendakwa Sean Flood kepada Hakim Peter Hamill.

    Peguam Schulz, Phillip Boulton, bersetuju.

    “Saya faham kepentingan menetapkan tarikh perbicaraan dalam kes biasa. Tetapi ini bukan kes biasa,” kata Boulton.

    Schulz dijangka hadir lagi ke mahkamah pada 12 Disember, pada ketika itu jabatan pertahanan dijangka memberitahu peguam perbicaraan maklumat mana yang akan disekat atas sebab keselamatan negara.

    Satu laporan tentera Australia yang dikeluarkan pada 2020 mencadangkan 19 tentera sekarang dan bekas tentera disiasat berhubung 39 pembunuhan haram di Afghanistan. Schulz didakwa pada Mac 2023. – AP

    Oliver Schulz (kanan) tiba di Mahkamah Agung negeri New South Wales di Sydney, kelmarin, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan jenayah perang. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda