Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Seorang warganegara Bangladesh berusia 43 tahun didakwa di Mahkamah Tinggi hari ini atas kesalahan berkaitan dengan pemerdagangan manusia.
Kes tersebut didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli, dengan Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli mewakili pendakwaan.
Siasatan oleh Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia dari Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mendapati bahawa tertuduh, Mahedi Hasan, didakwa telah menyeludup tiga warga dari Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam antara tahun 2018 dan 2019. Tertuduh dikatakan menggunakan penipuan untuk membawa mangsa-mangsa tersebut dengan tujuan untuk dijadikan buruh paksa.
Mahedi Hasan menghadapi dua tuduhan di bawah Bab 4, Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang, 2004, atas kesalahan yang dilakukan pada tahun 2018, sebelum penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang, Penggal 230.
Pihak pendakwaan juga mengemukakan satu tuduhan lagi di bawah Bab 5(1) Akta Antipemerdagangan Orang, Penggal 230, bagi kesalahan yang sama dihadapkan ke atasnya pada tahun 2019.
Semua tuduhan dibacakan kepada tertuduh, yang mengesahkan dia faham dan mengaku tidak bersalah. Mahkamah telah menangguhkan kes tersebut kepada 24 Mac untuk menetapkan tarikh perbicaraan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga 1,000,000, penjara sehingga 30 tahun dan sebatan di bawah Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang, 2004. Di samping itu, di bawah Akta Antipemerdagangan Orang, Penggal 230, tertuduh boleh dikenakan denda minimum 10,000 bagi setiap mangsa yang diperdagangkan.
