Sunday, February 23, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga Brunei bayar saman lebih RM7,000

    Oleh Arissa

     

    LIMBANG, 7 Nov – Polis Limbang berjaya mengutip kompaun berjumlah RM7,930 membabitkan 53 saman pada operasi Saman Tertunggak Warga Asing (Brunei) yang dijalankan di Bandar Limbang, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai memberitahu sebanyak 120 buah kenderaan turut diperiksa dalam operasi yang dijalankan oleh seorang pegawai dan lapan anggota trafik di jalan utama berhadapan Balai Polis Pusat Limbang.

    “Operasi yang diadakan semalam adalah untuk memburu pemilik kenderaan Brunei yang mempunyai saman tertunggak dan gagal dibayar untuk pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya kepada media semalam.

    Tegas beliau, sekatan jalan raya dijalankan di hadapan Balai Polis pusat yang juga merupakan satu-satunya jalan utama bagi setiap kenderaan yang melalui bandar Limbang sama ada melalui Brunei Utara mahupun Brunei Selatan.

    “Setiap kenderaan yang bernombor pendaftaran Brunei diperiksa untuk menyemak sama ada mempunyai saman tertunggak atau tidak.

    Beliau berkata mereka yang mempunyai saman tertunggak, diminta membuat semakan lanjut dan diarahkan untuk menjelaskan saman tertunggak.

    Operasi saman katanya, akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memburu pesalah sambil mengingatkan saman perlu dilunaskan segera bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda