Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Warga Brunei semakin peka kepada perkembangan ICT

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Perkembangan ICT di Negara Brunei Darussalam menunjukkan pembangunan yang positif dan semakin maju mengikut rentak tersendiri.
    Di samping itu, dapat dilihat bahawa warga Brunei pada masa ini juga semakin peka dan cenderung kepada perkembangan dunia ICT dengan lebih banyak produk inovatif dijangka akan diperkenalkan pada masa yang terdekat.

    Pandangan mengenai perkembangan ICT di Brunei berkenaan dikongsi oleh Dayang Nur Syazwana Zafirah binti Mohd Shahri yang mewakili Syarikat Zylit dalam temu bual bersama Media Permata semasa Majlis Pelancaran Anugerah BICTA 2024 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan supaya lebih ramai golongan belia yang berminat dalam bidang ICT untuk berani tampil ke hadapan dan menceburi bidang berkenaan.

    Secara peribadi, ulasnya, beliau mempunyai moto bahawa kita hanya hidup sekali sahaja, oleh itu, adalah amat penting untuk kita berani dan jangan takut untuk gagal, selain menjadikan kegagalan itu sebagai satu pengajaran untuk memperbaiki diri pada masa akan datang.

    Syarikat Zylit yang merupakan salah satu daripada peserta BICTA 2023 telah menyaksikan produk mereka, Hologlass digunakan sebagai mekanisme untuk pelancaran BICTA 2024 yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary beramah mesra dengan ahli-ahli Syarikat Zylit termasuk Dayang Nur Syazwana Zafirah (dua dari kanan) yang merupakan salah satu peserta bagi BICTA 2023.

    Hologlass merupakan teknologi yang menggabungkan elemen hologram dengan bahan kaca bagi menghasilkan pengalaman visual yang menarik.

    Mengulas mengenai produk yang dihasilkan oleh Syarikat Zylit, Dayang Nur Syazwana Zafirah menyatakan bahawa pada masa ini mereka mempunyai dua jenis produk iaitu Hologlass yang merujuk kepada penggunaan hologram dan prisma yang juga merupakan sejenis projection mapping tetapi lebih kepada permukaan tiga dimensi (3D).

    Syarikat Zylit, jelasnya lagi, diasaskan bersama oleh kumpulan mereka hasil daripada projek tahun akhir dari Politeknik Brunei di mana mereka mengetengahkan produk Hologlass yang menggunakan elemen hologram tetapi menumpukan kepada stail kreatif mereka tersendiri.

    Penerimaan orang ramai khususnya pelanggan terhadap produk yang dihasilkan oleh mereka adalah sungguh menggalakkan. Dayang Nur Syazwana Zafirah menjelaskan bahawa secara purata mereka akan teruja dengan produk yang dihasilkan kerana ia merupakan satu penga-laman yang baharu bagi mereka.

    Pada masa yang sama, ia memberikan mereka dorongan dan inspirasi untuk memajukan lagi produk mereka dengan memperkenalkan elemen-elemen serta teknologi baharu ke pasaran Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...