Saturday, March 29, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga China semakin lewat masuk tidur

    BEIJING, 26 MAC – Satu tinjauan telah mendapati bahawa setakat Februari tahun ini, purata waktu tidur bagi orang Cina ialah pada jam 00:18 pagi, 17 minit lebih lewat daripada tahun lepas.

    Kira-kira 80 peratus pelajar kolej masuk tidur selepas tengah malam, satu daripada empat tidur selepas jam 2 pagi dan kira-kira satu daripada tiga bangun selepas jam 9 pagi, menurut tinjauan yang dikeluarkan oleh Persatuan Penyelidikan Tidur Cina menjelang Hari Tidur Sedunia pada Jumaat 13 Mac lalu.

    Berdasarkan data yang dikumpul daripada peranti yang dipakai lebih 150,000 orang, tinjauan itu juga mendapati bahawa telefon pintar telah menjadi faktor utama yang mempengaruhi tidur pelajar kolej, menunjukkan bahawa semakin lama mereka menggunakannya, semakin lambat mereka tidur.

    “Tidur, pemakanan dan senaman diiktiraf sebagai tiga tonggak kehidupan sihat, dengan tidur menjadi asas yang utama. Tidur yang mencukupi dan konsisten adalah penting,” kata Huang Zhili, presiden persatuan berkenaan dan juga profesor di Universiti Fudan di Shanghai.

    Bagaimanapun, gangguan tidur semakin berleluasa dan menjejaskan golongan muda, tambahnya.

    Di platform media sosial China, golongan muda juga berkongsi pengalaman mereka melakukan ‘balas dendam dengan menangguhkan waktu tidur “, yang bermaksud sengaja tidur lewat walaupun sangat letih kerana jadual waktu siang yang padat, untuk mendapatkan semula rasa kawalan ke atas masa mereka.

    Sebagai contoh, seorang warganet dari wilayah Zhejiang telah menyiarkan rutin hariannya iaitu, “berbaring di atas katil saya, menikmati video-video pendek dan membaca novel dengan plot yang memuaskan dengan watak utama yang hebat pada tengah malam.

    “Semua ini adalah aktiviti yang tidak memerlukan banyak pemikiran,” tulisnya.

    Seorang lagi warganet dari wilayah Guangxi Zhuang, turut mengulas bahawa selepas dia mendapat pekerjaan, dia mula berjaga malam bermain telefonnya sebagai satu tindakan memberontak.

     “Saya akan bermain telefon saya sehingga tengah malam setiap hari. Apabila memikirkan tentang perlu bangun untuk bekerja esok membuatkan saya berat hati untuk tidur, walaupun saya terpaksa bangun pada pukul 7 pagi,” ujarnya.

    Berjaga malam bermain telefon boleh mengganggu tidur.- Gambar Pexels

    Tinjauan berkenaan turut menunjukkan bahawa kebanyakan peserta telah mengalami masalah tidur, dengan 65 peratus melaporkan satu hingga dua kes setiap minggu. Gejala yang ada termasuk terjaga pada waktu malam, insomnia, pergi ke tandas pada waktu malam dan tidur berdengkur.

    Wang Zan, ketua doktor neurologi dari Hospital First Bethune Universiti Jilin, menekankan bahawa tidur yang sihat melibatkan pelbagai dimensi. “Ia bukan sahaja mengenai tempoh yang panjang, tetapi juga melibatkan kecekapan, masa, ketetapan dan kepuasan,” katanya.

    Untuk meningkatkan kualiti tidur, dia mencadangkan untuk memastikan bilik tidur yang sejuk dan gelap, mendengar bunyi putih atau white noise, dan mempunyai waktu tidur dan bangun yang konsisten.

    Waktu tidur dan bangun yang konsisten boleh meningkatkan kualiti tidur. – Gambar Pexels

    Selain itu, tinjauan berkenaan menunjukkan bahawa senaman sederhana boleh membawa kepada tidur yang lebih baik, kerana mereka yang kerap bersenam mempunyai risiko insomnia yang lebih rendah berbanding mereka yang jarang bersenam.

    Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024, Li Yuehong berkata bahawa senaman aerobik membantunya menghilangkan tekanan dan mudah tidur sebelum pertandingan utama.

    “Saya akan melakukan senaman seperti berjoging, dan berpeluh sedikit sebelum tidur, supaya saya boleh berehat secara beransur-ansur dan tidur lena,” ujarnya. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda