KATHMANDU, 14 Ogos – Kira-kira 100 pelancong warga China yang terkandas di kawasan pelancongan Sauraha, selatan Chitwan, Nepal akibat banjir, berjaya dipindahkan ke kawasan selamat semalam.
Difahamkan sebelum banjir, terdapat kira-kira 600 pelancong tempatan dan asing berada di Sauraha, lapor agensi berita China Xinhua.
“Semua pelancong termasuk 100 pelancong China telah dipindahkan ke hotel terletak di kawasan lebih tinggi,” kata Naib Presiden Persatuan Hotel Tempatan Deepak Bhattarai.
Terdapat lebih 100 hotel di Sauraha dan hampir kesemuanya terjejas akibat banjir.
Banjir kali ini adalah yang terbesar dalam tempoh 15 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Badan Pelancongan Nepal, Deepak Raj Joshi berkata, pihaknya turut berbincang dengan Duta Besar China ke Nepal Yu Hong semalam, berhubung perkembangan terkini serta keselamatan pelancong China.
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal, negara itu dilanda hujan lebat di seluruh negara sejak beberapa hari lepas, mengorbankan 64 orang, 44 cedera dan 36 masih hilang. – Bernama