ANKARA, 1 OKT – Peratusan populasi warga emas di dunia dijangka meningkat dua kali ganda sehingga 1.5 bilion adalah terdiri mereka berusia lebih 65 tahun menjelang 2050, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Orang berusia 60 tahun dan ke atas merangkumi 12.3 peratus daripada populasi dunia dan pada 2050 jumlah itu dijangka meningkat hampir 22 peratus. Peningkatan mendadak diramalkan di negara-negara paling kurang maju, jumlah orang berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 37 juta pada 2019 menjadi 120 juta pada 2050 (225 peratus).
“Semua wilayah akan melihat peningkatan penduduk warga emas antara 2019 dan 2050. Peningkatan terbesar (312 juta) diunjur di Asia Timur dan Tenggara, meningkat daripada 261 juta pada 2019 menjadi 573 juta pada 2050,” lapor Agensi Anadolu memetik UN Population Fund.
Sementara peningkatan terpantas di utara Afrika dan Asia Barat.
Pada 1990, PBB menetapkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan dan taraf hidup sosial golongan itu. – Bernama