Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Warga emas tidak perlu pergi ke hospital untuk mendapatkan kebenaran bagi suntikan vaksin COVID-19, mereka hanya perlu pergi terus ke pusat vaksinasi kerana di sana terdapat doktor untuk memantau keadaan mereka yang telah mendapatkan suntikan vaksin berkenaan.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan lanjut, di setiap pusat vaksinasi, mereka (warga emas) yang telah mendapatkan suntikan vaksin akan disaring oleh pegawai perubatan bagi memantau keadaan mereka.
Pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato menambah bahawa pada masa ini mereka yang mempunyai alahan tidak ada masalah untuk mendapatkan vaksin.
“Kecuali yang mempunyai sejarah pengsan mengejut dan tekanan darah rendah yang mana doktor di sana akan menukar ke satu tarikh dan mengarahkan mereka untuk mendapatkan vaksin di hospital,” tambah beliau.
Manakala itu bagi wanita yang telah bersalin tapi belum sempat mendapatkan dos kedua, boleh menunda tarikh suntikan mereka, seminggu selepas bersalin atau sebelum tiga bulan dari suntikan dos pertama mereka, bagi memastikan keberkesanan vaksin.