Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Sejak kaedah pembayaran pencen umur tua melalui bank-bank diperkenalkan pada tahun 2020, jumlah penerima pencen umur tua yang menerima pembayaran melalui bank telah meningkat kepada 19,907 orang setakat Februari 2025.
Ia merupakan 45 peratus daripada keseluruhan 44,405 penerima berbanding tahun 2020, cuma 10 peratus sahaja semasa kaedah pembayaran itu diperkenalkan pada tahun berkenaan.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat mengenai kaedah pembayaran pencen tua pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-21 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan pihak kementerian telah menjalankan kaji selidik tatacara pencen umur tua pada 25 Oktober 2022.
“Hasil kajian mendapati 72 peratus iaitu 782 daripada jumlah 1,088 responden kaji selidik berkenaan lebih cenderung menerima pembayaran secara tunai di rumah ketua kampung dan bukan melalui bank,” jelasnya.

Beliau turut mengongsikan antara cabaran utama yang dikenal pasti termasuk kesukaran penerima mengakses kepada bank akibat ketiadaan kenderaan atau kesukaran tempat letak kereta, tidak mempunyai akaun bank atau kekurangan wang pendahuluan untuk membuka akaun.
Selain itu, penerima juga lebih selesa menerima pembayaran pencen umur tua di rumah ketua kampung kerana dapat berinteraksi dengan rakan sebaya, di samping masalah kesihatan termasuk faktor usia dan keadaan fizikal yang membatas pergerakan penerima.
Yang Berhormat Dato turut menjelaskan kurang celik digital terutama dalam penggunaan perkhidmatan perbankan dan transaksi dalam talian juga menimbulkan cabaran kepada warga emas.
“Kaedah pembayaran melalui ketua kampung memberi manfaat tambahan kepada penghulu dan ketua kampung untuk memantau kemaslahatan anak buah kampung mereka.
“Pihak kerajaan memahami cabaran yang dihadapi oleh warga emas dalam peralihan kepada sistem pembayaran digital, dan sudah tentunya akan memastikan pendekatan secara inklusif serta langkah sokongan yang bersesuaian dilaksanakan sebelum sebarang perubahan dibuat,” tambahnya.