Friday, December 20, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas di China nikmati kehidupan seperti orang muda

    Gambar AFP

    RUDONG, CHINA – Di hujung lorong sempit yang dikelilingi oleh bangunan usang, bunyi bola ping-pong bergema di sekitar gudang besar di sebuah bandar China di utara Shanghai.

    Ahli-ahli kelab pingpong di Rudong, sebuah daerah tepi laut yang sunyi dengan penduduk warga emas tertinggi di China, berkumpul untuk bersenam dan berjumpa.

    Rudong pernah memainkan peranan peneraju dalam pelaksanaan ‘dasar satu anak’ Beijing. Kini, sebuah sekolah terbiar dan ditumbuhi tanaman menjalar, manakala sebuah universiti tempatan menawarkan kursus kepada pesara.

    China secara rasmi telah dipintas oleh India sebagai negara paling ramai penduduk di dunia, dengan Beijing baru-baru ini mengumumkan jumlah penduduk telah menyusut tahun lepas buat kali pertama dalam lebih enam dekad.

    “Warga emas datang ke sini dan bermain ping-pong, ia membuatkan rasa baik untuk mereka, kemudian mereka berhenti bermain kad,” kata Fu, seorang wanita Rudong berusia 56 tahun yang membuka kelab itu pada 2011.

    Warga emas bermain gateball di sebuah universiti di Rudong, di wilayah Jiangsu, timur China.

    Seorang lelaki warga emas menolak basikalnya melalui kawasan perumahan di Rudong, di wilayah Jiangs di timur China.
    Pemilik kelab ping pong, Fei bermain ping-pong di Rudong, di wilayah Jiangsu di timur China.
    Sebuah sekolah terbengkalai di Rudong, di wilayah Jiangsu di timur China.

    Anak lelaki tunggal, Fu telah berpindah dari Rudong untuk mencari pekerjaan di bandar, suatu perkara biasa dalam sejak dekad kebelakangan ini apabila China beralih daripada perancangan pusat kepada sebuah negara ekonomi berorientasikan pasaran.

    “Dia telah mendirikan keluarga di sana,” kata Fu, tetapi apabila ditanya sama ada pasangan itu sedang mempertimbangkan untuk mempunyai anak lagi, dia berkata ia tidak mungkin.

    “Beban pada hari ini terlalu banyak.”

    Zhu, seorang ahli kelab yang berusia 60 tahun kini bersara daripada kerjaya di China Telecom, memberitahu AFP bahawa pasaran pekerjaan amat mencabar untuk generasi muda China.

    “Ia berbeza dengan generasi kami. Pada zaman itu, kami mempunyai tugas yang ditetapkan,” kata Zhu. “Tidak seperti hari ini, apabila orang terpaksa bergantung pada diri mereka sendiri untuk mencari pekerjaan.”

    AFP mendapati sebuah komuniti yang bergelut dengan realiti populasi yang semakin berkurangan, memberikan gambaran jelas tentang tekanan demografi yang dihadapi negara secara keseluruhan.

    Masalah ini amat ketara di tempat-tempat seperti Rudong, kira-kira 100 kilometer dari Shanghai, di mana lonjakan populasi warga tua bertepatan dengan penghijrahan golongan muda.

    Banci terakhir, yang diterbitkan pada Mei 2021, menunjukkan hampir 39 peratus penduduk di kawasan itu berumur 60 tahun ke atas, lebih daripada dua kali ganda angka kebangsaan 18.7.

    Jumlah penduduk secara keseluruhan adalah 880,006 orang, turun 115,977 daripada kiraan sebelumnya.

    Parti Komunis China yang memerintah memperkenalkan dasar kawalan kelahiran pada penghujung 1970an di tengah-tengah kebimbangan terhadap potensi akibat pertumbuhan penduduk yang tidak terkawal apabila negara itu muncul daripada pemerintahan huru-hara Mao Zedong.

    Walaupun dasar seorang anak telah dilonggarkan pada 2016, impaknya masih dirasai dengan jelas, tahun lepas, kadar kelahiran di China jatuh ke salah satu tahap paling rendah di dunia iaitu 1.2 kelahiran bagi setiap wanita.

    Penduduk yang semakin tua memberi tekanan kepada golongan muda Cina yang terpaksa menjaga ahli keluarga warga emas, serta sistem kebajikan negara.

    Ia adalah perkara biasa di China bagi orang tua untuk berpindah ke rumah saudara-mara muda, tetapi beberapa penduduk Rudong yang lebih tua memberitahu AFP bahawa mereka mengekalkan kesihatan mereka untuk mengurangkan tekanan terhadap anak-anak mereka.

    “Selagi kami sihat, tekanan pada anak-anak kami akan berkurangan,” kata Wang Jianhua, 67, sambil memegang pemukul kayu untuk gateball, permainan yang diilhamkan oleh kroket.

    “Jadi penyertaan dalam aktiviti ini adalah untuk diri kami sendiri, tetapi ia juga untuk mereka.”

    Bagi kebanyakan warga tua China, persaraan adalah lebih baik berbanding generasi sebelumnya selepas pertumbuhan ekonomi selama beberapa dekad.

    Sambil menunggang basikal keluar dari pintu masuk universiti tempatan dan berbual dengan rakan sekelasnya, Ping yang berusia 74 tahun memberitahu AFP dia diasingkan ke desa selama lima tahun untuk belajar daripada pekerja luar bandar semasa Revolusi Kebudayaan Mao pada 1960an.

    “Kerana Revolusi Kebudayaan, kami tidak menghadiri sekolah,” katanya.

    Tetapi dia kini mengambil kelas dalam bidang sastera dan opera tradisional Cina. “Kami berseronok dan belajar pada masa yang sama,” kata Ping.

    “Hidup masih cukup berwarna-warni,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda