Warga emas diberi pilihan perbaharui lesen memandu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah memaklumkan mengenai perubahan dasar berkaitan permohonan memperbaharui lesen memandu kelas 3 bagi warga emas yang berumur dari 70 tahun ke atas yang sebelum ini dihadkan kepada satu tahun sahaja.

“Alhamdulillah, setelah membuat penilaian dan penelitian, MTIC memaklumkan pemohon berumur 70 tahun hingga 85 tahun kini diberikan pilihan untuk membaharui lesen memandu mereka bagi tempoh satu tahun, tiga tahun atau lima tahun sekali,” jelas Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Yang Berhormat Dato mengongsikan perkara tersebut di dalam sidang media harian pada hari ini.

“Pemohon hanya perlu melengkapkan borang pengakuan kesihatan diri yang disediakan oleh JPD semasa membaharui lesen memandu,” jelas Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Manakala bagi pemohon yang berumur 86 tahun dan ke atas pula, menurut Yang Berhormat Dato, mereka boleh membaharui lesen memandu kelas 3 bagi tempoh satu tahun sahaja dengan menyertakan sijil kesihatan yang disahkan oleh pengamal perubatan yang berdaftar dan diiktiraf.

Keterangan lanjut mengenai pelaksanaan perkara-perkara yang dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi di sidang media tersebut juga akan diterangkan dengan lebih terperinci melalui siaran media JPD yang akan diadakan dalam masa terdekat.