Friday, November 29, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas dirai dalam majlis penghargaan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Selaku peneraju bagi memastikan kesejahteraan dan keterlibatan warga emas dalam menyumbang kepada pembangunan negara, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Perubatan Brunei (BMSA) telah menganjurkan Majlis Penghargaan Warga Emas bagi meraikan pemenang acara larian virtual melalui Aplikasi BruHealth dan pertandingan boling Strikes for Gold.

    Majlis tersebut diadakan petang tadi di Kompleks Sukan Jerudong, bersempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2024 (HAWE2024),

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah JAPEM, Dayangku Siti Saihalina binti Pengiran Haji Mohd Daud.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Timbalan Pengarah JAPEM, Dayang Nurul Nazurah binti Jaya dan ucapan daripada wakil BMSA, Setiausaha Agung BMSA, Eshyn Kon.

    Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada 10 pemenang teratas bagi Larian The Golden Milestones: Running Through the Golden Years iaitu Chin Yuk Fatt Micheal Chin, Dayang Norhasinah @ Suraya binti Abdul Rahman, Hajah Hirma Osnita binti Haji Matassan, Dayang Masraimi bin Masri, Dayang Iqa Rasimah binti Mohd Raseid, Dayang Norherman bin Mohd Nor, Awang Khairin bin Jefri, Dayang Norazalina binti Haji Suhaili, Awang Muhammad Redzuan bin Haji Yusof dan Awang Muhammad Akmalhayat bin Osman.

    Larian tersebut telah bermula pada 2 September hingga 29 September lalu yang diungkayahkan oleh golongan belia BMSA. Manakala bagi pertandingan boling Strikes for Gold yang diadakan pada 8 Oktober lalu, sebanyak 10 pasukan yang terdiri daripada ahli-ahli warga emas Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dan Pertubuhan Wargamas (PW) telah menyertai pertandingan tersebut.

    Johan bagi kategori pasukan lelaki dimenangi oleh PW, manakala PKWE Daerah Brunei dan Muara serta PKWE Daerah Belait masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

    Bagi kategori perempuan, PW sekali lagi muncul juara diikuti PKWE Daerah Brunei dan Muara di tempat kedua dan PKWE Daerah Temburong di tempat ketiga. Masing-masing menerima hadiah pingat dan sijil penyertaan.

    Penghargaan turut diberikan kepada Pengiran Haji Omarali bin Pengiran Haji Damit dan Dayang Siti Norbaya binti Haji Nawi sebagai Pemain Lelaki dan Perempuan Terbaik, masing-masing menerima trofi dan sijil.

    Majlis juga diselajurkan dengan penyerahan sumbangan BMSA sebanyak $1,229 untuk Tabung PKWE.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari JAPEM, ahli-ahli BMSA serta ahli-ahli PKWE di seluruh negara; PW; persatuan-persatuan bukan kerajaan dan rakan-rakan strategik JAPEM.

    Dayangku Siti Saihalina hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JAPEM
    Penyerahan sumbangan BMSA untuk Tabung PKWE. – GAMBAR SERAHAN JAPEM
    GAMBAR SERAHAN JAPEM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda