LIMBANG, 16 FEB – Seorang lelaki warga emas yang keluar memukat ikan bersama seorang anak saudara lelakinya tengah hari semalam, ditemukan meningggal dunia di tebing sungai berdekatan Kampung Pulau Brunei hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa Atin Isik, 62, ditemukan ahli keluarga pada 11:24 pagi.
Bagaimanapun anak saudaranya, Jordisone Jamit, 16, setakat ini masih belum ditemukan.
“Menurut maklumat keluarga, kedua-dua mereka keluar rumah untuk memukat ikan di sungai berdekatan Kampung Pulau Brunei pada 12 tengah hari Sabtu,” katanya dalam kenyataan ringkas petang ini. – Bernama
