HOKKAIDO, 9 SEPT -Seorang wanita Jepun berusia 80 tahun telah diperdaya apabila menghantar sekitar 1 juta yen (AS$6,700) secara dalam talian kepada seorang penipu yang menyamar sebagai angkasawan.
Menurut Oddity Central, wanita malang itu bertemu penipu berkenaan di media sosial Julai lalu. Dia telah diperdaya apabila lelaki itu mendakwa dirinya adalah seorang angkasawan yang sedang menjalankan satu misi di angkasa lepas.
Selepas dipercayai wanita tersebut, penipu itu memberitahunya bahawa dirinya sedang “berada dalam kapal angkasa sekarang” tetapi “sedang diserang dan memerlukan oksigen.”

Jelas sekali pada masa itu, satu-satunya cara yang boleh dilakukan wanita berusia 80 tahun untuk membantu adalah ialah menghantar wang ke akaun bank supaya angkasawan itu boleh membeli lebih banyak oksigen dan terus bertahan menghadapi kesukaran.
Saluran media tempatan, Hokkaido Broadcasting melaporkan bahawa wanita itu tinggal bersendirian dan mula timbul perasaan terhadap angkasawan palsu itu setelah berbual lebih lama.
Disebabkan itu, wanita itu sering bersedia untuk membantu menghulurkan wang walaupun dakwaan angkasawan tersebut langsung tidak masuk akal.
Wanita itu diarahkan untuk mendepositkan wang menggunakan sistem prabayar di lima kedai berbeza antara Julai dan Ogos, dan dia hanya memberitahu keluarganya mengenai perkara itu apabila dia mula menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena.
Selepas berbincang dengan keluarga, wanita itu melaporkan kes tersebut kepada polis. Dia kemudiannya diberitahu bahawa ini adalah sejenis penipuan percintaan atau romance scam dalam talian yang biasa berlaku dan usaha mendapatkan wangnya kembali adalah hampir mustahil.
Polis memutuskan untuk mendedahkan kes wanita itu sebagai pengajaran kepada orang lain dengan memberi amaran, “Jika seseorang yang awda temui di media sosial pernah meminta wang tunai daripada awda, sila waspada bahawa ia adalah penipuan dan segera laporkan kepada polis”.
Meskipun kes begini adalah pelik, namun pada 2022, terdapat kes melibatkan seorang warga emas juga yang memberi $30,000 kepada angkasawan yang terperangkap di angkasa untuk membantunya kembali ke bumi. – Agensi

