Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Warga emas gudang pengalaman’

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Tema Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas tahun ini ialah Warga Emas Pemacu Tindakan Tempatan dan Global: Meniti Hari Tua Dengan Berjaya dan Sinergi Intergenerasi, amat besar maknanya.

    Tema tersebut menekankan warga emas bukanlah golongan yang terpinggir bahkan mereka adalah antara penyumbang penting kepada pembangunan masyarakat dan negara.

    “Warga emas adalah gudang pengalaman, sumber kebijaksanaan serta benteng rohani yang mampu membimbing generasi kini dan akan datang,” tekan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku tetamu kehormat pada Majlis Doa Kesyukuran Sempena Hari Antarabangsa Warga Emas 2025 dan Musabaqah Tilawatil Al-Quran Pusat Kegiatan Warga Emas yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

    Majlis berkenaan merupakan anjuran bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) serta Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE).

    Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, pegawai-pegawai kanan kementerian, para peserta Musabaqah Tilawatil Al-Quran serta warga emas dari seluruh daerah.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Dayang Fauziah semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majls itu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara yang menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya turut menyatakan gabungan Majlis Doa Kesyukuran dan Musabaqah Tilawatil Al-Quran amat bertepatan dalam meraikan sambutan tahun ini, kerana kedua-dua acara bukan sahaja memperkaya sambutan dengan nilai spiritual dan budaya, tetapi juga menzahirkan penghormatan tinggi kepada warga emas sebagai sumber inspirasi dan teladan kepada generasi muda.

    “Musabaqah Tilawatil Al-Quran yang dilaksanakan buat kali kedua tahun ini amat signifikan bukan sahaja sebagai usaha membudayakan pembacaan, pemahaman dan penghayatan Al-Quran seiring dengan hasrat Negara Brunei Darussalam ke arah Negara Zikir, bahkan menjadi platform bagi warga emas untuk terus aktif dan menyumbang dalam memperkukuh nilai keagamaan serta menyemarakkan syiar Islam,” jelasnya.

    Beliau menambah amalan membaca Al-Quran dan berdoa bersama menjadi sumber pahala, ketenangan jiwa, ilmu pengetahuan serta perlindungan di dunia dan akhirat, sekali gus mengukuhkan hubungan spiritual dan memberi kekuatan menghadapi cabaran kehidupan.

    “Hasrat kita adalah untuk membina masyarakat Brunei yang sihat, progresif dan teguh rohaninya. Semoga dengan keberkatan Al-Quran dan doa kita bersama, Allah SWT melimpahkan rahmat serta kesejahteraan kepada warga emas dan negara yang kita cintai,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Beliau turut menyeru agar warga emas terus memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat melalui perkongsian nasihat, pengalaman hidup dan sokongan moral kepada generasi muda, di samping menyatakan komitmen kerajaan dalam menyediakan lebih banyak platform agar golongan warga emas kekal aktif sebagai rakan kongsi penting dalam agenda pembangunan negara.

    Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh memaklumkan bahawa sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas tahun ini didahului dengan acara Musabaqah Tilawatil Al-Quran yang disertai oleh 13 peserta terdiri daripada tujuh qari dan enam qariah daripada keempat-empat daerah.

    Daripada jumlah berkenaan, lapan peserta (empat qari dan empat qariah) telah mara ke peringkat akhir yang berlangsung di Dar Al Intisar, Kompleks Sukan Jerudong, Kampung Jerudong.

    Beliau turut menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah kepada para peserta yang berjaya ke peringkat akhir serta para johan qari dan qariah atas kejayaan masing-masing yang menjadi kebanggaan bersama.

    Beliau juga merakamkan penghargaan kepada KHEU, para jemaah hakim, PKWE Daerah Tutong atas komitmen serta kerjasama padu menjayakan pertandingan, serta kepada para penaja yang bermurah hati iaitu RHB Bank Berhad, Halimah Habib Hajj & Umrah, Koleksi Husnaa dan Modessa Enterprise.

    Beliau dalam ucapannya turut menggalakkan warga emas agar terus menjalani kehidupan yang aktif ke arah gaya hidup sihat dari aspek fizikal, mental dan kerohanian, sambil terus menyumbang kepada sosioekonomi pembangunan bangsa dan negara selaras dengan aspirasi ‘Penuaan Yang Berjaya.’

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda