Thursday, July 17, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas hidup dalam keadaan daif dibantu

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Kisah lelaki warga emas yang mempunyai masalah kesihatan dan tinggal seorang diri di sebuah rumah di Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba dalam keadaan kotor, mendapat perhatian daripada Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) yang bertindak segera untuk membantu lelaki tua berkenaan sebaik kisahnya ditularkan dalam media sosial.

    Awang Mahadi tidak dapat melakukan kerja-kerja rumah kerana menghidap penyakit diabetes, mempunyai penglihatan kabur, mengalami masalah kulit yang teruk dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak.

    Beliau mempunyai seorang anak perempuan yang tinggal bersama suaminya di rumah berasingan dan hanya datang satu atau dua kali dalam sebulan untuk mencuci pakaian bapanya.

    Prihatin dengan keadaan beliau, MKM menghubungi penjual makanan berdekatan untuk menghantar makanan kira-kira dua kali sehari kepada Awang Mahadi.

    Kelmarin, ahli-ahli MKM yang diketuai Presidennya, Awang Yusof Halim telah berkunjung ke kediaman Awang Mahadi untuk membersihkan rumahnya.

    Naib Presiden MKM, Hajah Johana berkata, mereka mendapati kesemua bilik tidak dapat digunakan kerana telah dipenuhi dengan sampah dan pakaian kotor.

    Mereka turut mendapati tikus-tikus telah bersarang di atas tilam dengan najisnya di sana sini. MKM telah membersihkan rumah itu secara menyeluruh, dengan menggantikan katil dan tilam kepada yang baharu. MKM turut memberikan kerusi dan meja makan serta menukar permaidani lama yang dicemari najis tikus kepada yang baharu.

    “Kami telah membersihkan sepenuhnya rumah Awang Mahadi supaya kesihatannya tidak akan terjejas teruk,” kata Awang Yusof Haim. Awang Mahadi yang melahirkan rasa penghargaannya kepada MKM atas bantuan yang diberikan turut menyuarakan kebimbangannya kerana dia tinggal berseorangan dan rumahnya sebelum ini pernah dimasuki ketika dia ditahan di hospital.

    MKM sedang bekerjasama dengan beberapa pihak kerajaan untuk mendapatkan penyelesaian bagi masalah Awang Mahadi dan mereka yang ingin membantu, bolehlah menghubungi MKM.

    Awang Yusof Halim (kanan) bersama ahli-ahli MKM merakamkan gambar kenangan bersama Awang Mahadi (duduk) ketika membersihkan kediamannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda