Apabila bercakap tentang inspirasi kesihatan dan kecergasan, warga emas mungkin bukan kumpulan orang pertama yang terlintas di fikiran.
Walau bagaimanapun, ramai orang dewasa yang lebih tua membuktikan sebaliknya dan memberi inspirasi kepada orang lain dengan semangat kental, keazaman dan fikiran positif.
Menghadapi masa yang sukar untuk memotivasikan diri awda untuk menjadi lebih cergas?
Individu berikut mungkin dorongan yang awda perlukan. Fikirkan awda sudah terlalu tua untuk rejim kecergasan latihan intensif atau triatlon? Awda belum berjumpa dengan Ow Teow Beng.
Senaman lelaki berusia 69 tahun itu berkemungkinan menyebabkan ramai peminat kecergasan berusia 20an atau 30an tercungap-cungap.




Rutin utama Oh ialah latihan berselang intensiti tinggi (HIIT) tiga kali seminggu – senaman yang bersilih ganti antara rutin yang intensif dan lebih ringan.
Uncle Oh, panggilan mesra baginya, berkata senaman yang cergas itu secara semula jadi membuatkan dia sihat.
“Tiada sengal-sengal dan sakit setakat ini!” katanya sambil ketawa.
“Tetapi latihan intensif bukan untuk semua orang,” dia mengingatkan. “Awda memerlukan kekuatan badan dan kardio, dan saya tidak terlalu memaksa diri saya untuk menjalankan latihan.
Saya mungkin melakukan empat daripada lima latihan sekali-sekala. Awda mesti tahu had awda.”Lelaki yang mengaku dirinya ‘orang tua gila’ itu menjalani kehidupan yang sangat aktif. Beliau telah menyertai beberapa acara Triatlon Port Dickson dan acara berbasikal jalan raya.
“Saya tidak begitu aktif semasa muda tetapi menggalakkan anak saya mengambil bahagian dalam pertandingan maraton dan berbasikal. “Dia akhirnya mengajak saya menyertai acara ini.”
Walaupun tidak bersaing, kehidupan sosial Uncle Oh mungkin kelihatan amat fizikal.
Sebelum sekatan COVID-19, dia sering menyertai acara berbasikal pada hujung minggu dan berjalan kaki bersama rakan-rakan.
“Kami telah berbasikal ke Jenjarum dan Sekinchan dan berjalan kaki sejauh Klang dan Kepong, kadang-kadang untuk mencuba tempat makanan atau durian yang popular! Apa yang boleh saya katakan? Kami adalah sekumpulan lelaki tua yang gila, tetapi itu semua demi keseronokan!”
Diong Swee Gaik berusia 20an ketika dia mengambil seni mempertahankan diri tradisional Jepun Aikido untuk terus aktif secara fizikal.
Dua dekad kemudian, dia memutuskan untuk meneruskan seni mempertahankan diri Jepun yang lain, Kendo, dan bukannya bersara daripada aktiviti yang disukainya itu.
Walaupun warisan yang dikongsi bersama antara kedua-dua seni mempertahankan diri itu menjadikan peralihan lebih mudah untuk Diong, pertukaran itu juga terbukti satu kejayaan bagi dirinya.
Dia akhirnya mewakili Malaysia dalam pertandingan kendo antarabangsa, pada usia pertengahan 40an ketika itu.
“Saya berlatih di Kelab Jepun, di mana pasukan Kendo kebangsaan juga berlatih,” ujar Diong.
“Tidak lama kemudian, beberapa atlet menggalakkan saya untuk melayakkan diri mendapatkan ‘bogu’ saya, perisai pelindung yang dipakai oleh ahli sukan mahir, supaya saya boleh berlatih dengan mereka,” tambahnya.
Peluang latihan pada mulanya tidak menjamin dia mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan, “tetapi ini bermakna saya boleh berlatih pada tahap mereka, dan ia adalah sesuatu yang tidak ternilai!”
Setahun selepas memperoleh ‘bogu’, Diong bertanding dalam Kejohanan Kendo ASEAN di Bangkok.
Tugasan pasukan kebangsaannya termasuk Kejohanan Kendo Dunia 2018 di Korea dan kejohanan serantau 2019 di Jakarta, di mana pasukan wanita menggondol pingat perak.
Dia tidak mengambil mudah semasa membawa bendera negara.
“Walaupun sebagai pemain baharu dalam usia 40an bersama pasukan kebangsaan ketika itu, saya terpaksa berusaha lebih gigih. Saya telah memberikan segalanya.”
Sekiranya tidak bertanding, wanita yang kini berusia 53 tahun itu berkata rutin kecergasannya kini lebih intensif berbanding sebelum ini.
“Saya berlari, melakukan senaman HIIT dan tarian kardio.
“Saya juga telah menyertai senaman yoga. Selepas lima hari latihan intensif, saya mengambil masa sehari untuk menjalani senaman regangan dengan yoga. Saya berehat pada hari ketujuh.
“Perkara penting yang perlu diingat adalah memastikan badan dan minda sentiasa bergerak.
“Semasa umur masih muda, kita mencabar dan menetapkan matlamat untuk diri kita sendiri.
“Terus bergerak bermakna mengambil bahagian dalam beberapa usaha fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
“Tidak kira apa yang awda lakukan. Walaupun pada hari yang paling malas, ia akan memberi awda manfaat menggerakkan sendi-sendi tersebut,” tambahnya. – ANN/The Star

