Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas lebih selesa menua di rumah sendiri

    KUALA LUMPUR – Hari itu adalah seperti hari-hari biasa, sewaktu Profesor Madya Rahimah Ibrahim menerima panggilan daripada ibunya untuk memberitahu ayahnya yang berusia 77 tahun jatuh dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

    Begitulah keadaannya bagi Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) serta adik beradiknya dalam menguruskan ayah dan ibu mereka yang semakin lemah kesihatan.

    Beberapa persoalan bermain-main di fikiran Rahimah yang berusia dalam lingkungan 40an itu.

    Antaranya, apakah ayah dan ibu mereka masih boleh tinggal sendiri? Apakah elok mereka tinggal sahaja dengan salah seorang daripada anak mereka? Bagaimana pula jika mereka tinggal di pusat penjagaan? Apakah mereka masih boleh tinggal di rumah sedangkan rumah itu tidak dapat melindungi mereka sekiranya ditimpa kesakitan?

    Tidak sekali pun ibu bapanya bersetuju untuk berpindah ke mana-mana, atau tinggal dengan anak-anak mereka yang sudah dewasa. Mereka juga tidak berminat untuk pindah ke kejiranan baru, yang mungkin dapat memudahkan kehidupan mereka yang semakin berusia, daripada segi reka bentuk kepada persekitaran di sekeliling mereka.

    Profesor Madya Rahimah Ibrahim bercakap mengenai penuaan di rumah sendiri kepada Bernama di M Resort, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Bernama
    Khairul Azizi Ismail ketika ditemu ramah di Mutiara Spaces eCurve Damansara baru-baru ini. – Bernama

    Apa yang ibu bapa Rahimah mahu, dan begitu juga hasil satu penyelidikan, mereka akan lebih sihat untuk melalui usia yang semakin tua di kediaman sendiri.

    “Saya kata (kepada ibu saya), tolonglah, mari pindah ke tempat lain. Ibu saya menjawab: ‘Tidak, Saya ada (rakan-rakan dalam kalangan jiran) di sini. Saya sudah bina persahabatan dengan (mereka) 20-30 tahun lamanya,” Rahimah memberitahu Bernama.

    Keadaan itu membuatkan beliau dan adik-beradiknya hanya ada satu sahaja persoalan yang tinggal: memandangkan ibu bapa mereka masih mahu tinggal di rumah sendiri, mereka memerlukan sokongan. Pertama, untuk menjadikan rumah ibu bapa mereka yang dibina sekitar 1970an, dapat menjadi ‘mesra warga emas’ dengan menggabungkan reka bentuk universal atau reka bentuk bebas halangan dalam kerja pengubahsuaian.

    Seperti rakyat Malaysia lain yang mengendalikan isu penuaan, sama ada diri mereka sendiri atau anak-anak mereka, mereka kini perlu mengubahsuai kediaman mereka, salah satu cabaran menua di tempat sendiri. Perkara seperti mencangkung atau tandas Asia, di samping tangga dan laluan yang sempit, adalah ciri lazim rumah yang dibina sebelum masuk kurun yang baharu.

    Aspek inilah yang menjadi masalah untuk warga emas apabila mereka mengalami kesukaran untuk bergerak dan lebih cenderung tergelincir atau jatuh.

    MENUA DI TEMPAT

    Pertama-tamanya, apa maksud menua di tempat? Menua di tempat adalah apabila orang itu boleh melalui proses menjadi tua di rumah atau dalam komuniti di mana mereka sudah habiskan sebahagian besar usia dewasa mereka, dengan atau tanpa anak-anak mereka tinggal bersama. Pertubuhan kesihatan dan pakar penuaan menyokong idea berkenaan kerana kekal berdikari, dan di rumah serta komuniti mereka mempunyai banyak manfaat, termasuk membantu mental yang turut memberi kesan baik kepada kesihatan fizikal mereka.

    Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia sudah mencapai status negara tua apabila pada tahun 2021, tujuh peratus penduduk negara berusia di atas 65 tahun. Ini akan hanya dapat disahkan pada kempen banci berikutnya, iaitu pada tahun 2030.

    Langkah seterusnya adalah negara tua yang mana warga berusia merupakan 14 peratus daripada jumlah penduduk. Bank Dunia menganggarkan Malaysia akan mencapai tahap ini pada tahun 2044.

    Penyelidikan yang dijalankan di Malaysia dan di tempat-tempat lain mendapati trend yang biasa: Orang mahu kekal tinggal di rumah mereka seboleh mungkin. Hasil tinjauan yang diterbitkan pada tahun 2019 bertajuk Menua di Rumah Sendiri: Kajian Dalam Kalangan Orang Dewasa Pra-Warga Emas Di Semenanjung Malaysia oleh Shamzaeffa Samsudin dari Universiti Utara Malaysia, dan rakan sejawatan beliau mendapati, sekitar 84 peratus daripada 1,153 responden mahu hidup tua di rumah mereka sendiri.

    Hanya sedikit memilih untuk pindah ke perkampungan persaraan atau kejiranan yang dibina khas untuk menampung keperluan warga emas.

    James Tan, bekas pengerusi Jawatankuasa Kecil Perkampungan Persaraan dan Warga Tua di bawah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), berkata, trend sebegitu berlaku di seluruh dunia. Beliau adalah juga Ketua Pegawai Eksekutif Suntrack Development Sdn Bhd.

    “Di Australia, kali terakhir saya periksa, hanya tujuh peratus daripada warga emas mereka pindah ke kampung persaraan. Tujuh peratus daripada pasaran Australia yang matang,” beliau memberitahu Bernama menerusi Zoom.

    Bagaimanapun, hasrat untuk menua di rumah sendiri besar kemungkinan tidak dapat dikecapi oleh kebanyakan warga tua di Malaysia. Berbanding Australia, hanya kira-kira 30 peratus daripada warga emas Malaysia tinggal sendiri atau dengan pasangan mereka. Yang selebihnya tinggal dengan anak-anak mereka atau di pusat penjagaan orang tua, demikian menurut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima yang dijalankan pada tahun 2014, dan diterbitkan setiap sedekad. Laporan keenam dijangka siap 31 Disember ini.

    Pakar-pakar penuaan berkata, kebanyakan warga emas akhirnya terpaksa juga meninggalkan rumah dan komuniti mereka. Ianya sama ada rumah atau persekitaran mereka tidak sesuai untuk melalui kehidupan menua, atau kerana kekurangan perkhidmatan sokongan untuk menyediakan penjagaan yang mereka perlukan.

    Kebanyakan warga emas dalam keadaan ini memerlukan sedikit penjagaan.

    “Kita memaksa mereka keluar dari rumah mereka kerana tidak ada perkhidmatan untuk membolehkan mereka hidup berdikari atau memberikan perkhidmatan kepada mereka di mana jua mereka tinggal, ” kata Rahimah, menambah, berpindah ke tempat lain mungkin masih menjadi perkiraan sekiranya keperluan penjagaan mereka meningkat.

    KURANGNYA TINDAKAN

    Jika pun ayah dan ibunya bersetuju untuk berpindah, seperti mana sesetengah warga emas yang lain ke kediaman yang lebih kecil, tidak ada jaminan mereka dapat mencari atau mampu membayar kos kediaman yang sesuai dengan keperluan mereka.

    Di sebalik keperluan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk majlis tempatan dan syarikat pembinaan menggunakan reka bentuk universal, atau reka bentuk yang bebas halangan, dalam projek mereka, kebanyakan bangunan di Malaysia masih sukar diakses oleh mereka yang mempunyai isu mobiliti, seperti warga emas.

    Dalam tahun-tahun sebelum ini, termasuk pada tahun 2015 dan 2019, KPKT menghantar pekeliling ke beberapa pertubuhan profesional dan agensi, termasuk arkitek, jurutera dan juruukur, secara rasminya mengingatkan mereka untuk mematuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 dalam merancang projek baharu, dengan memastikan pembangunan baharu mudah diakses oleh orang yang mempunyai kecacatan, termasuk warga emas.

    Pekeliling itu juga mengingatkan mereka bahawa kerajaan tempatan boleh menjadikan UBBL sebagai syarat untuk meluluskan pelan bangunan.

    Pakar-pakar penuaan berkata, kurang tindakan oleh pihak berkuasa adalah salah satu daripada cabaran utama dalam isu penuaan di Malaysia.

    “Mungkin mereka ada buat sesuatu tetapi masih di atas kertas. Ia nampak bagus atas kertas. Apabila sampai ke peringkat tindakan atau perlaksanaan, ianya selalu amat perlahan, ” kata Cheah Tuck Wing, Pengerusi Gabungan Penuaan Malaysia.

    Ketika kerajaan persekutuan dan negeri mengeluarkan pelan untuk warga emas, hanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang meuar-uarkan secara terbuka pelan untuk warga emas dalam lingkungan bidang kuasanya. Meskipun ia tidak menangani penuaan di tempat, ia memperincikan matlamat untuk menyediakan sokongan sosial, nasihat kewangan, persekitaran yang boleh diakses dan infrastruktur.

    Bernama cuba menghubungi KPKT, beberapa majlis perbandaran dan badan profesional untuk komen, tetapi setakat rencana ini ditulis, tidak mendapat respons.

    SASARAN WARGA TUA

    Meskipun sesetengah bangunan baru mungkin kekurangan reka bentuk universal untuk kehidupan pelbagai generasi, kebanyakan pemaju secara khususnya mengambil kira pertimbangan negara menua dalam pelan mereka. Di kawasan yang mempunyai ramai penduduk warga emas atau yang akan memasuki usia emas, pemaju menimbangkan isu penuaan di tempat.

    Bagi mereka, ia hanyalah langkah perniagaan pintar untuk menimbangkan perubahan demografik.

    Boustead Properties Bhd baru-baru ini merobohkan eCurve mall di Mutiara Damansara untuk memberi laluan kepada pembinaan pangsapuri servis The Lines. Pembangunan ini menawarkan 14 susun atur sesuai untuk pelbagai peringkat usia, dan juga sesuai untuk penuaan di tempat.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Azizi Ismail memberitahu Bernama, penyelidikan pasaran mendapati residen dalam lingkungan radius 15km hartanah itu adalah ‘amat dewasa’, yakni bilangan tinggi warga emas dan yang berusia pertengahan.

    “Kerana kami menjangkakan kumpulan itu juga salah satu daripada sasaran pasaran yang kami boleh hubungi. Bukan sahaja untuk pembeli baru rumah, anak-anak tetapi juga ibu bapa dan datuk nenek,” katanya.

    “(Pangsapuri) dah siap untuk dijadikan ruang kediaman warga emas, (seperti) suis dipasang rendah dan laluan ruang yang lebar,” kata Mutasha Musa, ketua Reka Bentuk dan Perancanghan di Mutiara Spaces, anak syarikat Boustead Properties.

    Menurut Boustead Properties, kira-kira 63 peratus daripada anggaran sejuta orang dalam lingkungan radius 15km pembangunan, berusia antara 20 hingga 59. Sebanyak 9 peratus atau sekitar 100,000 berusia 65 tahun dan ke atas.

    “Ini bermakna, dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang, anda boleh mensasarkan 30 peratus kumpulan warga emas,” kata Muhd Taufiq Jaapar, Ketua Pegawai Strategi Kreatif Boustead Properties.

    Pembangunan lain yang berpusat kepada reka bentuk universal dan kehidupan pelbagai generasi termasuk Tuai Timur, oleh Suntrack Development Sdn Bhd di Setia Alam.

    KENYATAAN KEHIDUPAN

    Tidak dapat dinafikan bahawa penuaan di tempat merupakan pilihan bagi kebanyakan pesara dan warga emas – sekiranya mereka mampu memperolehinya. Bagaimanapun, kos pengubahsuaian mungkin menyekat kehendak mereka, terutamanya jika rumah yang terlibat tidak dapat disesuaikan untuk penuaan.

    “(Di rumah saya), pintu masuk tidak besar, pastinya bukan untuk kerusi roda. Tidak ada juga lantai antigelincir, tidak ada pemegang di mana-mana. Ia tidak dibina untuk penuaan di tempat. Ia sekadar rumah,” kata Cheah.

    Berusia 63 tahun, Cheah dan isterinya mungkin berpindah ke tempat yang lebih mesra warga tua pada masa depan, meskipun mereka lebih ingin menua di tempat sendiri.

    Ketika beliau dan isterinya berkemungkinan mampu berpindah ke kediaman yang lebih berorientasikam warga tua, Cheah akur ramai yang mungkin tidak mempunyai pilihan yang serupa. Memandangkan populasi warga emas semakin meningkat, diburukkan dengan kadar kelahiran yang menurun, beliau berkata, kerajaan boleh mencontohi Singapura yang melaksanakan pelan bertindak mereka meliputi penuaan.

    Singapura mencapai status negara tua pada tahun 2020, dengan populasi tua terdiri daripada 16 peratus daripada 5.6 juta penduduk, dan semakin menghampiri negara ‘super-aged’, dengan sekurang-kurangnya 20 peratus populasinya berusia 65 tahun dan ke atas.
    “Kita sedang menuju ke arah itu. Ada sedikit jurang yang tinggal untuk menyelamatkan diri kita, jadi sebelum itu berlaku, cepatlah belajar dan laksanakan semuanya itu,” katanya.

    “Kenapa kita sering enggan hendak belajar daripada Singapura? Mungkin kerana kiasu dan sejarah di sebalik (hubungan kita),” tambahnya, sambil ketawa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda