Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Warga emas mabuk cinta dengan Enrique Iglesias

LOS ANGELES, 23 MAC – Seorang wanita dari Los Angeles berusia 63 tahun berfikir bahawa dia menjalin hubungan romantis dengan penyanyi popular Sepanyol, Enrique Iglesias.

Menurut Oddity Central, Guadalupe Cepeda yang meminati Enrique Iglesias selama lebih dua dekad, seakan tidak percaya apabila penyanyi berkenaan muncul di media sosial pada suatu hari.

Dia menemuinya dalam kumpulan peminat dalam talian dan dia menyangka dirinya bertuah apabila penyanyi Bailamos itu memilihnya daripada jutaan peminat wanita lain untuk menjalin hubungan istimewa secara maya.

‘Hubungan’ mereka bermula dua tahun lalu dan meskipun Cepeda sudah bersuami, dia percaya bahawa Enrique akan mengahwininya suatu hari nanti.

Dia turut merancang untuk berpisah dan melarikan diri bersama bintang Sepanyol itu. Namun sebelum itu berlaku, Enrique memerlukan sedikit wang daripadanya.

Selama dua tahun ‘pasangan’ ini berhubung melalui mesej, Cepeda akhirnya menghantar beberapa ribu dolar kepada Enrique, memikirkan bahawa Enrique sebenarnya memerlukan wang itu.

Hinggalah satu ketika, apabila desakan wang daripada Enrique menjadi terlalu banyak, Cepeda memberitahu bahawa dia tidak mempunyai pekerjaan lagi.

Tetapi Enrique menyuruhnya mencuri wang daripada suaminya atau mencari sumber lain jika dia benar-benar mahu bersamanya.

Suami Cepeda menghidu penipuan berkenaan setelah menemui perbualan mereka di telefon. Bagaimanapun suaminya tidak marah tetapi mahu menyedarkannya bahawa dia sebenarnya ditipu.

Tetapi Cepeda berdegil dan enggan mempercayai penipuan berkenaan walaupun diberitahu sumber mesej bintang Sepanyol itu datang dari Nigeria.

Suami Guadalupe mendedahkan kisah ‘romantik’ berkenaan ke pihak media dengan harapan untuk mendedahkan kebenaran.

Namun Guadalupe masih tidak yakin bahawa penipu yang telah bertukar mesej sejak dua tahun lalu bukanlah Enrique Iglesias yang sebenar.

“Apa yang saya rasa adalah ikhlas. Perkahwinan saya berakhir kerana saya cintakan awak,” kata Cepeda kepada penyanyi Sepanyol itu.

Suaminya telah turut merayu kepada penyanyi Sepanyol itu tampil menjelaskan bahawa bukan dia yang berhubung dengan Cepeda.

Bagaimanapun Enrique tidak memberi komen terhadap ‘kisah cintanya’ itu tetapi sekadar mengingatkan peminatnya supaya berwaspada dan hanya mempercayai saluran rasmi untuk mengelakkan penipuan.

Penipuan sebegini kerap berlaku kebelakangan ini. Tidak lama dahulu, Media Permata pernah melaporkan kisah Brad Pitt yang meminta wang daripada seorang wanita. – Agensi

Cepeda (kiri) sangka menjalin hubungan dengan ‘Enrique’ dari Nigeria. – Oddity Central
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda