Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas masih cergas di kala COVID-19 membelenggu

    HAVANA – Warga emas adalah demografi penduduk yang paling mudah terdedah kepada pandemik koronavirus tetapi di Cuba, meskipun kekurangan makanan dan kemiskinan berleluasa, ramai warga emas masih bekerja, tidak terhalang oleh wabak berkenaan.

    “Siapakah yang tua?” seloroh Caren More, 85 tahun, yang tinggal bersama adik perempuan Olga, 74, dan adik lelaki William, 71, di sebuah rumah sederhana di Havana.

    Ketiga-tiga mereka menghidapi demensia peringkat berlainan dan adalah antara penduduk tua yang ramai di negara pulau dengan 11 juta orang itu.

    “Umur adalah faktor risiko dengan penyakit ini..Semakin ramai penduduk kami sudah berusia,” kata Francisco Duran, pengarah epidemiologi di kementerian kesihatan.

    “Terdapat wilayah dan bandar dengan kumpulan umur purata melebihi 60 tahun, ia adalah tinggi dan mereka perlu dilindungi,” katanya.

    Sergio Ballesteros bekerja di kebun bunga matahari di Havana semasa pandemik koronavirus. – AFP
    Mekanik Emilio, 81, bekerja di bengkelnya di Havana. – AFP
    Emilio Garcia bermain kecapi di rumahnya di Havana. – AFP

    Daripada lebih 2,100 orang dijangkiti di Cuba, 63.7 peratus merupakan warga emas. Sementara itu, 80.7 peratus daripada 83 kematian dalam negara membabitkan orang berusia lebih 80 tahun.

    Cuba mempunyai salah satu jumlah penduduk tua terbesar di rantau itu.

    Kebanyakan warga emas negara terpaksa menyara hidup dengan wang pencen bernilai AS$10 dan mesti bergantung pada bantuan daripada ahli keluarga, walaupun penjagaan kesihatan adalah percuma dan ubat adalah murah.

    Warga emas lain tinggal sendirian atau di rumah perlindungan. Mereka mempunyai pembahagian makanan bulanan tetapi ia adalah tidak cukup.

    Bandar El Vedado di Havana mempunyai umur purata tertinggi dalam negara.

    Ia adalah tempat di mana pemuzik berusia 31 tahun, Degnis Bofill tinggal. Beliau adalah anggota kumpulan Sukarelawan Corona yang membantu penduduk berisiko, seperti Caren More dan adik-beradiknya, yang diberikan makanan oleh beliau.

    “Ia adalah untuk mereka yang tidak sendirian,” kata beliau.

    “Orang tua di Cuba adalah amat kuat. Ada kalanya apabila saya membeli makanan, saya bertemu orang tua dalam barisan yang berkata kepada saya: ‘Saya tidak akan tinggal dalam rumah disebabkan jika saya berbuat demikian, bagaimana saya akan makan?’,” kata Bofill.

    Olga More juga berkongsi sentimen yang sama: “Kami rasa sihat, dan dengan semua teman dan kawan yang datang ke rumah kecil ini untuk melawat kami, apa lagi yang kami mahu?”

    Di Arroyo Naranjo, pinggir bandar Havana, Sergio Ballesteros, 70 tahun, bangun awal untuk menjaga kebun bunga matahari yang terletak di sebelah rumahnya. Memakai penutup mulut dan hidung, beliau kerja sendirian, boleh mengamalkan peraturan penjarakan sosial.

    “Saya menjaga diri saya sendiri, saya tidak keluar tetapi saya masih bekerja. Dan jika kamu mengabaikan tanah, kamu kehilangan segala-galanya,” kata beliau.

    Balu dengan dua anak dan empat cucu itu telah bekerja selama 40 tahun.

    Beliau berusia 9 tahun apabila rejim komunis yang dipimpin oleh mendiang Fidel Castro menerajui tampuk pemerintahan ekoran revolusi pada 1959.

    Ballesteros telah mengharungi liku-liku kehidupan yang sukar sebelumnya, seperti krisis ekonomi pada 1990 selepas kejatuhan Kesatuan Sooviet, yang sehingga masa itu merupakan sekutu utama Cuba.

    “Pada usia ini, saya tidak takut pada apa-apa. Saya pernah menghadapi situasi lebih teruk. Saya pernah mengalami serangan jantung, saya pernah menjalani pembedahan kerana kanser. Saya pernah mengharungi pelbagai keperitan.

    “Adakah anda fikir saya akan berasa takut dengan virus sekarang? Tidak, sudah tentunya, saya tidak mahu mati, tetapi saya tidak takut.”

    Emilio Garcia, 81, masih membaiki trak di sebuah bengkel di rumahnya. Beliau bersantai di laman atau bermain kecapi.

    Garcia telah pun kehilangan adik lelaki dan iparnya, yang tinggal di Sepanyol, akibat pandemik.

    Beliau mempunyai empat anak, dua di Havana, seorang di Amerika Syarikat dan seorang di Peru.

    “Saya rasa sihat, melihat umur saya. Saya tidak boleh merungut tentang kehidupan saya, ia adalah baik,” kata Garcia, yang telah menjalani pembedahan tujuh kali, termasuk tiga kali di perutnya.

    Beliau percaya dalam umur panjang yang diwarisi keluarganya. Nenek dan bapanya meninggal dunia pada usia 101 tahun.

    “Saya memberitahu generasi baharu supaya jangan berasa susah hati. Mereka berasa susah hati, mereka mahu keluar di jalan raya dan mereka fikir tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Sesuatu boleh berlaku,” kata beliau. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda