Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas maut, 29 rumah musnah dalam kebakaran

    SANDAKAN, 31 JULAI – Seorang lelaki berusia 63 tahun meninggal dunia selepas badannya melecur 90 peratus akibat kebakaran yang memusnahkan 29 rumah di Kampung Batung Pinangah, Tongod petang semalam.

    Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah hari ini, mangsa dikenali sebagai Eng Suan King @ John Philip disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital terdekat setelah dihantar oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di tempat kejadian.

    Selain 29 rumah, turut musnah dalam kebakaran bermula kira-kira 5.30 petang itu ialah sebuah tadika dan dua kenderaan serta sebuah kuarters Klinik Kesihatan yang rosak 15 peratus akibat kebakaran itu.

    Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada 5.35 petang dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan dengan bantuan BBP Sandakan bergegas ke tempat kejadian.

    Pasukan bomba terpaksa mengambil masa lama untuk tiba di tempat kejadian kerana kedudukan BBP berkenaan masing-masing jauh dari tempat kejadian.

    Jarak BBP Kota Kinabatangan ke tempat kejadian adalah kira-kira 170 km, manakala jarak BBP Sandakan ke tempat kejadian kira-kira 190 km. – Bernama

    Anggota Dewan Undangan Kuamut, Datuk Masiung Banah (kiri) mendengar cerita mengenai kebakaran daripada seorang penduduk sewaktu melawat mangsa kebakaran di Kampung Batung Pinangah, Tongod hari ini. Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, seorang lelaki berusia 63 tahun meninggal dunia selepas badannya melecur 90 peratus akibat kebakaran yang memusnahkan 29 rumah, sebuah tadika dan dua kenderaan serta sebuah kuarters Klinik Kesihatan yang rosak 15 peratus akibat kebakaran itu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda