Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas maut dalam kemalangan

    Oleh Yusrin Junaidi

    TUTONG, 30 MAC – Hasrat seorang warga emas untuk pulang ke rumah tidak kesampaian setelah maut dalam kemalangan jalan raya di kawasan Jambatan Simut, Jalan Padnunok, Kampung Kiudang, di sini, hari ini.

    Dalam kejadian sekitar 8:35 pagi, lelaki tempatan berusia 78 tahun itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kiudang sebelum terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta.

    Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang tiba di tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan mendapati kemalangan tersebut dipercayai pertembungan dua buah kenderaan dari arah yang bertentangan melibatkan tujuh mangsa dengan seorang daripadanya dilaporkan meninggal dunia.

    Mangsa yang meninggal dunia memandu berseorangan manakala enam individu dari sebuah kenderaan lain dalam keadaan selamat dan masih dalam rawatan pihak hospital.

    Keanggotaan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut membantu mengeluarkan mangsa di dalam kenderaan itu dan disahkan meninggalkan dunia oleh doktor bertugas di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB).

    Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

    PPDB dalam kenyataannya mengingatkan para pengguna jalan raya agar sentiasa peka akan had kelajuan dan sentiasa fokus dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap jalan raya dan kawasan persekitaran.

    Kenderaan milik warga emas yang terlibat dalam kemalangan. – Gambar serahan PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda