Wednesday, March 26, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas maut diserang lebih 50 anjing milik anak

    PUEBLO, COLORADO, 25 MAC – Seorang wanita di Colorado ditahan selepas beberapa ekor daripada lebih 50 ekor anjing peliharaannya menyerang hingga menyebabkan kematian ibunya yang berusia 76 tahun.

    Jessica Hoff, 47, dijangka hadir buat pertama kali di mahkamah esok berhubung insiden kematian LaVonne Hoff, yang menghidap demensia dan memerlukan penjagaan 24 jam, menurut rekod mahkamah serta kenyataan Pejabat Syerif Daerah Pueblo.

    Jessica ditahan pada Jumaat lalu selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya atas tuduhan kecuaian jenayah dan kekejaman melampau terhadap haiwan.

    Menurut pihak berkuasa, Jessica meninggalkan ibunya sendirian di rumah di Colorado City, kira-kira 225 kilometer di selatan Denver, pada 3 Februari lalu untuk keluar menguruskan urusan peribadi. Beberapa jam kemudian, pihak berkuasa menemui LaVonne dalam keadaan tidak sedarkan diri, sementara beberapa ekor anjing berkeliaran di dalam rumah bersama kira-kira 24 ekor anjing lain serta tujuh ekor burung dalam sangkar.

    Pemeriksaan lanjut di kediaman itu serta satu lagi hartanah milik Jessica menemukan jumlah keseluruhan 54 ekor anjing, dengan beberapa daripadanya dalam keadaan tidak sihat. Semua haiwan itu juga ditemui dalam keadaan tidak bersih sebelum dirampas oleh pihak kawalan haiwan.

    Jessica kini ditahan dengan ikat jamin ditetapkan pada AS$50,000, menurut rekod penjara.

    Pendakwaan belum mengemukakan pertuduhan rasmi ke atasnya, manakala peguam bela yang dilantik dari pejabat peguam awam enggan mengulas mengenai kes itu kepada media. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda