KAPIT, 27 NOV – Sorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terperangkap sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai dalam kejadian banjir kilat di Kilometer 4 Jalan Selirik di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Nanu berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6 pagi semasa Pastor Bangau Amping, 75, sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar isteri berniaga di hadapan SK Methodist.
“Semasa kejadian, air telah melepasi jalan raya akibat hujan lebat sejak malam tadi dan arus kuat menyebabkan kereta dipandunya dihanyutkan ke dalam Sungai Selepong berdekatan.
Mangsa berjaya dikeluarkan sekitar pukul 7:40 pagi tadi, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama