BUTTERWORTH, 14 SEPT – Seorang lelaki warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan melakukan perbuatan amang seksual terhadap anak perempuan kandungnya sekitar tahun lalu.
Lelaki berumur 63 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing itu membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anaknya yang waktu itu berusia 13 tahun di sebuah rumah di Tanah Liat, Bukit Mertajam dekat sini dari Mac sehingga Jun 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(2)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh memandangkan mangsa merupakan anak kandungnya dan tinggal di rumah yang sama. – Bernama