Warga emas perlu asing diri hingga akhir tahun

BERLIN, 12 APRIL – Warga emas mungkin perlu terus menjalani pengasingan diri hingga akhir tahun ini untuk melindungi mereka daripada wabak COVID-19, kata Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen.

“Tanpa vaksin, kita perlu mengehadkan sebanyak mungkin kontak dengan warga emas.

“Saya tahu bahawa ia sukar dan isolasi adalah suatu beban, namun ia membabitkan soal hidup atau mati. Kita perlu kekal berdisiplin dan bersabar.

“Kanak-kanak dan orang muda akan menikmati lebih banyak kebebasan bergerak, lebih awal berbanding warga emas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya dalam laporan akhbar harian Jerman, Bild, hari ini.

Beliau sekali gus berharap makmal Eropah akan berjaya menghasilkan vaksin untuk wabak itu menjelang akhir tahun ini.

Bagi memastikan orang ramai dapat diberikan vaksin dengan segera, katanya, pihak berkuasa sudah memulakan perbincangan dengan pengeluar supaya penghasilan untuk memenuhi keperluan dunia dipercepatkan. – AFP