Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas perlu sokongan mental, emosi

    CARACAS – Sebuah radio lama memainkan lagu latar ketika Cira Madrid, 83 tahun, menyediakan kopi untuk seorang tetamu yang jarang datang ke apartmennya yang kecil tetapi bersih di Caracas, di mana dia tinggal seorang diri.

    Wajahnya berseri-seri apabila seorang sukarelawan di NGO Convite, Morella Russian tiba sebagai tetamu, yang salah satu projeknya termasuklah menjaga warga emas Venezuela di mana ribuan orang yang ditinggalkan akibat penghijrahan orang muda mencari kehidupan yang lebih baik di tempat lain.

    “Anakku yang baik!” Russian, 66, menyambut wanita tua itu dengan pelukan mesra. “Apa khabar? Adakah kamu berjemur?”

    Semasa menikmati kopi dan biskut di ruang tamu, Madrid, sambil berjalan membongkok dengan tongkat, menceritakan tentang hidupnya sejak kali terakhir mereka bertemu.

    Dia mengeluh tentang sakit sendi, tetapi mengaku bahawa dia rajin melakukan latihan kecergasan yang diberikan oleh doktor.

    Maria Dolores Jaime, 76, semasa menyapa ahli sukarelawan persatuan awam CONVITE, Maria Carolina Borges yang melawat kediamannya di kejiranan Petare, Caracas. – Gambar AFP
    Sukarelawan berhubung dengan warga emas dengan harapan bagi membina hubungan mesra untuk menjaga status emosi dan kesihatan mereka.
    Maria Carolina Borges, menghiburkan Maria Dolores Jaime semasa lawatan ke apartmennya untuk bertanya khabar dan keadaannya di kejiranan Petare, Caracas.

    “Kadang-kadang saya rasa malu untuk menghubunginya kerana saya tahu bahawa dia juga mempunyai banyak perkara yang perlu diuruskan,” Madrid berkata tentang pelawatnya, yang dia gambarkan sebagai ‘cahaya’ dan ‘berkat.’

    Anak lelakinya sendiri, katanya dengan air mata berlinangan, telah berhijrah ke Costa Rica pada tahun 2015, dan “selama bertahun-tahun, dia tidak mengirimkan satu sen pun kepada saya.”

    Venezuela mengalami kemiskinan yang teruk dan krisis politik yang telah mendorong lebih daripada tujuh juta warganya untuk melarikan diri dari negara tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

    Makanan, ubat-ubatan dan barang-barang asas seperti sabun dan tisu tandas sering kekurangan. Ramai yang telah merisikokan nyawa mereka dengan menempuh perjalanan yang panjang dan berbahaya melalui Amerika Tengah dan Mexico dalam usaha berhijrah ke Amerika Syarikat.

    Tetapi kebanyakannya hampir enam juta yang tinggal di negara-negara lain di Amerika Latin dan Carribean dalam apa yang digambarkan oleh UNHCR sebagai “salah satu krisis penghijrahan terbesar di dunia.”

    Organisasi seperti Convite melakukan apa yang mereka mampu bagi membantu orang-orang yang ditinggalkan termasuk warga emas dengan daya beli yang semakin berkurangan dan sistem kesihatan awam yang semakin musnah.

    Sokongan mental dan emosi

    Menurut NGO itu, setengah juta warga emas dalam kalangan lima juta pesara negara itu tinggal sepenuhnya sendirian, diabaikan oleh sistem penjagaan orang tua yang ‘tidak menentu.’

    Ramai bergantung sepenuhnya terhadap bantuan ahli keluarga, derma, kerja tidak rasmi atau bantuan kemanusiaan.

    Kerajaan negara Amerika Selatan itu melancarkan program sosial untuk warga emas pada tahun 2011, tetapi tiada angka yang tersedia mengenai pencapaiannya.

    Convite dilancarkan di Caracas dua tahun yang lalu dan berharap untuk meluaskan lagi ke bandar-bandar lain.

    “Fungsi kami bukan membawa mereka hidangan makanan tetapi makanan untuk jiwa,” kata Maria Carolina Borges, seorang sukarelawan berusia 58 tahun. Penjaga seperti dia dilatih untuk membantu warga emas dengan keperluan harian praktikal, tetapi juga untuk mengatasi kebimbangan, masalah tidur, kesepian atau kesedihan.

    Antara tanggungjawab Borges adalah menjaga dan merawat Maria Dolores Jaimes, 76, yang tinggal bersama dua orang anaknya, dua ekor anjing, dan seekor burung nuri, tetapi kekurang an wang untuk memenuhi beberapa keperluan asas. Jaimes menganggap Borges sebagai anak perempuannya yang lain.

    “Kadang-kadang saya berasa penting kerana dia hampir setiap hari menelefon saya,” jelas Jaimes. “Dia mengaturkan beberapa konsultasi ginekologi untuk saya dan janji temu gigi juga.”

    Maria Carolina Borges, sebagai seorang sukarelawan yang dilatih untuk membantu orang tua dalam kehidupan sehari-hari mereka, telah membantu memenuhi keperluan Maria Dolores Jaimes yang tidak terlihat seperti rasa kesepian, cemas dan sukar tidur. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda