Saturday, November 16, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas pertahan tarian tradisional Tionghua

    GUA MUSANG – Meskipun telah bergelar warga emas, Phua Kui Yong, 76, dan Ng Giok Hoon, 71 masih lincah menari khususnya tarian tradisional Tionghua seperti tarian kipas, tarian bunga bola dan tarian reben.

    Menyedari masih ramai generasi muda yang tidak mengenali tarian tersebut, pasangan sahabat baik itu mengambil inisiatif memperkenalkan seni warisan itu kepada masyarakat.

    Phua berkata tarian kipas, tarian bunga bola dan tarian reben turut membawa identiti budaya masyarakat Tionghua, namun tidak mendapat pendedahan seperti tarian singa dan naga yang sudah pun terkenal.

    “Oleh itu kami sepakat secara sukarela menggalas tanggungjawab untuk mengetengahkan serta mengekalkan tarian kipas, tarian reben dan tarian bunga bola atau xiuqiuhua,” katanya ketika ditemui Bernama di Tokong Swee Nyet Keung, baru-baru ini.

    Berpengalaman hampir 50 tahun dalam bidang tarian, Phua berkata kesemua jenis tarian itu merupakan simbolik kepada kegembiraan, kemewahan dan tuah.

    Sekumpulan wanita kaum Tionghua bergambar kenangan selepas selesai melakukan tarian reben di pekarangan Tokong Swee Nyet Keung di Gua Musang. – Bernama

    Bercerita lanjut, beliau mengakui sehingga kini dirinya masih lagi cergas dan memiliki stamina yang tinggi disebabkan amalan menari enam hari seminggu.

    “Saya pada mulanya mengikuti suami berpindah dari Perak ke daerah ini pada tahun 1970an dan dapat mengenali rakan-rakan di sini melalui aktiviti menari.

    “Dari itu saya dan rakan menjadikannya sebagai senaman pagi setiap Sabtu hingga Khamis dan menari sekurang-kurangnya satu jam setengah sebelum masing-masing ke tempat kerja, tetapi pada 2003 kami mula mendapat permintaan untuk mengadakan persembahan sebagai penyeri majlis,” katanya.

    Menurut Ng, aktiviti tarian itu dapat membuka mata masyarakat terhadap variasi tarian yang melambangkan keunikan kaum Cina.

    “Kita ingin memastikan warisan ini tidak basah dek hujan, tidak lekang dek panas. Tugas kami adalah menghidupkan dan mempertahan pusaka yang ditinggalkan nenek moyang ini,” katanya yang amat fasih berbahasa Melayu.

    Ng berkata antara cabaran yang dihadapi adalah untuk mencari pelapis dari generasi baharu yang dilihat lebih cenderung kepada tarian moden.

    “Kami perlu berusaha menjadikan tarian tradisional ini masih relevan pada masa kini malah sentiasa cuba menarik minat golongan muda untuk menyertai rutin senaman kami setiap pagi.”

    Antaranya menurut Ng, mereka perlu bersaing dengan populariti tarian zumba dalam kalangan belia masa kini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda