KUCHING, 20 NOV – Seorang wanita warga emas 75 tahun kerugian RM706,000 akibat sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai polis dan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata mangsa mendakwa dihubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Sarjan pada 28 Ogos semasa berada di rumah, memaklumkan dirinya terkait jenayah.
“Suspek mendakwa kad pengenalan mangsa mempunyai rekod kesalahan jenayah penipuan dan wang haram sebelum talian disambungkan kepada individu lain.
“Mangsa seterusnya berhubung menerusi WhatsApp dan diarahkan memindahkan wang ke dua akaun syarikat kononnya bagi siasatan BNM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata mangsa sedar ditipu selepas menceritakan kejadian itu kepada rakan lalu membuat laporan polis.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama


