Warga emas terima kunjungan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 17 DIS – Dalam memeriahkan penghujung tahun 2019 warga emas di Rumah Orang-orang Tua, Seria, beberapa pertubuhan yang dipimpin oleh Kelab Lions Belait telah mengadakan lawatan untuk meluangkan masa bersama serta menjalankan pelbagai aktiviti.

Dengan Naib Presiden Pertama Lions, Kevin Lim dari Kelab Lions Belait sebagai pengerusi penganjur, lawatan berkenaan disertai oleh 13 orang ahli dan dua rakan Lions dari Kelab Lions Belait yang diketuai oleh Presiden Lions, Joseph Teo, tiga orang ahli dari Kelab Lions Lambir Miri yang diketuai oleh Bendahari Lions, Michele Chia dan 25 orang ahli dari Persatuan Pengakap Daerah Belait yang diketuai oleh Awang Mohd Hatta bin Haji Suhaili.

Selain itu, tiga kakitangan dari QET Sdn Bhd juga meluangkan masa memotong rumput yang tumbuh tinggi di sekitar pusat berkenaan serta Brotherhood Seafood Restaurant yang menaja hidangan tengah hari bagi para sukarelawan.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh rombongan berkenaan adalah memasak dan menyajikan hidangan bagi penghuni warga emas oleh ahli-ahli Kelab Lions Lambir Miri, ujian mata oleh Joseph Teo dengan kaca mata berpreskripsi ditaja oleh Visioncare, Kuala Belait.

Sementara itu, ahli Lions, Terry Thoo juga menyampaikan taklimat kesihatan dan pemeriksaan bagi penghuni, manakala itu peserta lain membantu membersihkan kawasan sekitar yang bukan sahaja termasuk memotong rumput malah membersihkan kawasan tempat pembuangan sampah dan mencantikkan perkarangan.

Di samping itu, beberapa sumbangan merangkumi barangan keperluan harian yang diperlukan warga emas juga telah disampaikan kepada pusat berkenaan, yang bukan sahaja hasil sumbangan daripada ahli-ahli rombongan lawatan berkenaan malah ahli keluarga dan saudara-mara mereka.

Beberapa ahli Kelab Lions dari Lambir Miri menyediakan makanan untuk warga emas. – Gambar daripada Kelab Lions Belait