Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas teruja sertai perbarisan Hari Kebangsaan

    KUALA LUMPUR – Umur ternyata hanyalah angka. Bagi beberapa warga emas dan kanak-kanak semangat cintakan negara mendahului keupayaan fizikal.

    Mohd Nor Daud di usianya 85 tahun antara warga emas yang berkongsi kegembiraannya, selepas berjaya menamatkan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2023 di perkarangan Masjid Jamek Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini.

    “Alhamdulillah, saya seronok terlibat dalam aktiviti seumpama ini, walaupun perlu berjalan jauh, saya tetap bersemangat demi rasa cinta kepada negara,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

    Pesara guru itu yang mewakili kontinjen Persatuan Warga Emas Kariah Masjid Jamek Kampung Nakhoda (Pewares), mengambil tempoh sebulan untuk berlatih dengan membuat senaman ringan agar kekal sihat dan bertenaga, bagi melaksanakan acara itu.

    “Untuk kekal sihat, saya selalu mengamalkan gaya hidup sihat seperti melakukan senaman ringan dan bercucuk tanam, yang dijadikan rutin. Namun, saya tidaklah memaksa diri sebaliknya cukuplah sekadar dapat mengeluarkan peluh.

    Para peserta daripada pelbagai persatuan berarak pada Program Patriotik Kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-66 di Masjid Jamek Kg Nakhoda, Gombak pada 31 Ogos. – Gambar Bernama
    Suasana meriah tergambar pada Program Patriotik Kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-66 di Masjid Jamek Kg Nakhoda, Gombak. – Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    “Program seumpama ini perlu diteruskan lagi, agar dapat menyuntik semangat kecintaan kepada negara khususnya buat golongan muda,” katanya.

    Seorang lagi peserta Datuk Khalid Ibrahim, 74, pula melahirkan rasa kagum atas usaha dan semangat institusi keagamaan itu, dalam membawakan pelbagai program berbentuk patriotik bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan negara.

    “Biasanya, kita jarang mendengar masjid buat aktiviti seperti ini. Jadi, sebagai penduduk, saya sangat berbangga atas semangat yang ditonjolkan ini dan diharapkan menjadi ikutan kepada masjid yang lain,” katanya yang juga merupakan seorang pesara.

    Tidak kurang juga bagi peserta cilik, Fatimatul Zahrah Aisyah Abdul Qahhar yang berusia tujuh tahun dan adiknya Mohd Hafiy Rayyan Sharifuddin, 5, yang mengakui teruja dan bersemangat untuk menyertai acara itu.

    “Kami rasa sangat seronok. Umi (ibu) kejutkan kami seawal enam pagi untuk bersiap ke acara tersebut. Semua orang berpakaian cantik untuk sambut Hari Kebangsaan,” katanya.

    Acara perbarisan dan perarakan itu yang bermula jam 7:30 pagi tadi, disertai lebih 300 penduduk di sekitar Dun Sungai Tua, di sini, dengan cara berjalan kaki, berkawad dan berkonvoi menggunakan kenderaan bermotor sejauh satu kilometer, mengelilingi Masjid Jamek Kampung Nakhoda.

    Semua peserta terdiri daripada pelbagai lapisan usia termasuk kanak-kanak dan warga emas, dilihat sangat bersemangat menyertai perarakan ini sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

    Selain itu, program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti demonstrasi silat gayung, deklamasi sajak, dan nyanyian lagu-lagu patriotik seperti Keranamu Malaysia, Jalur Gemilang dan Tanggal 31.

    Nazir Masjid Jamek Kampung Nakhoda Mohd Azmi Md Eusoff, 58, berkata program julung kali diadakan itu, bertujuan untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan penduduk terutamanya golongan muda selain mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mereka.

    “Masjid merupakan saluran yang mudah untuk dekat dengan masyarakat. Jarang masjid menganjurkan program seperti ini, jadi, sebagai kelainan, kita cuba lakukannya sebagai tarikan buat golongan muda untuk menyertai aktiviti di masjid.

    “Alhamdulillah, saya tidak sangka mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada penduduk kerana program ini dirancang dalam tempoh singkat,” katanya.

    Bekas Pegawai Waran I itu berharap, program itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan membabitkan lebih ramai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan, orang perseorangan, ibu bapa dan komuniti setempat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda