Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 10 Ogos – Bagi mencapai matlamat antarabangsanya untuk bertukar-tukar fikiran dan pengalaman, beberapa orang ahli Kelab Rotary Tanjong Pagar Singapura telah mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam.
Rombongan yang diketuai oleh Presiden Kelab Rotary Tanjung Pagar Singapura, James Lim itu telah berkunjung ke Rumah Orang-Orang Tua Pekan Seria, hari ini.
Semasa ditemui Media Permata, James Lin menyatakan bahawa lawatan sosial seperti itu dilakukan sebagai antara usaha menyatupadukan ahli-ahli kelab mereka di mana sahaja terdapatnya kelab berkenaan.
Buat Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, ia merupakan lawatan yang pertama, dengan hasrat untuk melihat projek kemasyarakatan yang dilakukan oleh ahli-ahli kelab tersebut di negara ini khususnya di Daerah Belait.
Setelah menjadi Presiden Kelab Rotari Tanjong Pagar sejak Julai lalu, beliau telah membuat beberapa lawatan sosial bersama beberapa orang ahlinya termasuk ke Malaysia, Thailand dan Brunei.

Rombongan berada di negara ini selama empat hari tiga malam sebelum meneruskan lawatan ke Miri, Sarawak, Malaysia, Ahad ini.
Semasa lawatan ke Rumah Orang-Orang Tua Pekan Seria, rombongan yang diiringi oleh Penolong Governor Kelab Rotary Daerah Belait, Helen Tang, telah melakukan sedikit aktiviti kemasyarakatan termasuk menyampaikan sumbangan berupa keperluan asasi dan cenderahati berbentuk paket merah dan Door Gift sempena ketibaan Sambutan Perayaan Kek Bulan yang dibawa dari Singapura.
Selain itu, mereka turut membawa hidangan makan tengah hari bagi penghuni-penghuni di rumah tersebut.
Rombongan kemudiannya meneruskan lawatan sosial ke Kampung Labi 2, untuk mengunjungi kediaman lelaki warga emas yang dalam keadaan buta dan tinggal bersendirian tanpa sanak saudara.
Ten Thien Siew, 69, setakat ini telah menerima berbagai-bagai bantuan daripada Kelab Rotary Daerah Belait termasuk bantuan pemasangan panel solar untuk membekalkan keperluan elektrik ke kediamannya di kawasan pedalaman itu.
Dalam kunjungan itu, rombongan turut menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asasi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh warga emas tersebut.
Kunjungan itu juga dihasratkan untuk membantu menggembirakan perasaan warga emas berkenaan di mana mereka juga makan tengah hari bersama sambil beramah mesra dan mendapatkan maklum balas mengenai keadaannya pada masa ini dari segi kesihatan dan sebagainya.
Sementara itu, pada sebelah malam, rombongan juga telah menghadiri majlis makan malam bersama Presiden Kelab Rotary Daerah Belait, Camille Chai yang disertai sama oleh setiausaha kelab tersebut, Patrick Lai dan Helen Tang di salah sebuah restoran di sini.