Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas tidak lepaskan peluang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Cuaca panas yang menyinari langit Bandar Seri Begawan tidak mematahkan semangat ribuan rakyat yang membanjiri Padang Haji Sir Omar ‘Ali Saifuddien bagi menyambut Majlis Ramah Mesra Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung penuh meriah dan bermakna hari ini.

    Seawal pagi, kawasan sekitar padang sudah mula dipenuhi rakyat pelbagai lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak berpakaian tradisional membawa bendera mini, hinggalah warga emas yang hadir bersama keluarga dengan wajah penuh ceria.

    Walaupun cuaca panas semakin terasa menjelang tengah hari, semangat rakyat untuk melihat keberangkatan Baginda Sultan tetap membara.

    Kemeriahan juga kelihatan dengan bendera negara serta panji-panji berwarna kuning, hitam dan putih berkibar megah di setiap penjuru padang, menambahkan seri sambutan yang penuh semangat kebangsaan. Persembahan kebudayaan berirama tradisional turut memeriahkan suasana, memperlihatkan keindahan warisan seni Brunei yang sentiasa dibanggakan.

    “Alhamdulillah, walaupun cuaca panas, hati kami tetap gembira dapat melihat Baginda Sultan berangkat,” ujar Awang Haji Ahmad bin Bujang, 80 tahun, dari Daerah Brunei dan Muara, yang hadir bersama keluarganya.

    Beliau menyifatkan majlis seumpama ini membawa makna besar kepada rakyat, khususnya warga emas yang telah lama menyaksikan kemajuan negara di bawah kepimpinan Baginda Sultan.

    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

     “Sejak zaman muda, saya tidak pernah ketinggalan apabila Baginda berkenan berangkat ke majlis seperti ini. Rasa syukur sangat kerana masih diberi umur untuk melihat sendiri Baginda Sultan yang sentiasa mengambil berat dan mendekati rakyatnya,” katanya dengan nada sebak.

    Bagi Awang Haji Mohidi bin Pengarah Haji Basi, seorang mantan guru, majlis berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan antara raja dan rakyat, malah menjadi wadah pendidikan sosial bagi generasi muda untuk lebih menghayati Falsafah Melayu Islam Beraja.

     “Sebagai warga pendidik, saya berharap anak-anak muda peka terhadap perubahan teknologi dan memanfaatkannya ke arah kemajuan negara. Kita bersyukur atas pemerintahan yang stabil dan dihormati di peringkat serantau serta antarabangsa,” katanya.

    Awang Haji Mohidi bin Pengarah Haji Basi. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Beliau turut menegaskan pentingnya nilai adab dan tatasusila terus diamalkan dalam kehidupan seharian agar warisan bangsa dan budaya kekal utuh selaras dengan kemajuan semasa.

    Awang Haji Mohidi, juga dari Daerah Brunei dan Muara, turut berkongsi rasa terharu dapat bersama-sama rakyat lain menyambut keberangkatan Baginda Sultan.

    “Bagi kami yang sudah berusia, majlis seperti ini sangat bermakna. Bila melihat Baginda Sultan melambai kepada rakyat, terasa sebak di hati. Ia tanda kasih seorang raja kepada rakyatnya, dan kasih itu tidak akan luntur,” ujarnya penuh terharu.

    Dalam pada itu, Yang Dipertua WARGAMAS, Awang Haji Abu Bakar bin Mohd Don, turut menjelaskan bahawa penyertaan WARGAMAS dalam majlis berkenaan bukan sahaja sebagai tanda sokongan kepada acara berkenaan, tetapi juga bagi mengetengahkan pelbagai inisiatif dan kegiatan warga emas yang giat dilaksanakan.

    Yang Dipertua WARGAMAS, Awang Haji Abu Bakar.

    Katanya, melalui pameran WARGAMAS yang diadakan di tapak majlis, menyembahkan pesambah kepada Baginda sultan dengan pelbagai hasil tangan serta aktiviti-aktiviti produktif yang dilaksanakan oleh ahli-ahli WARGAMAS, termasuk bengkel kraf tangan, pameran foto serta aktiviti kesihatan dan kesejahteraan warga emas.

    “Warga emas di Brunei masih aktif dan berperanan besar dalam membina masyarakat sejahtera. Kehadiran Baginda Sultan memberi semangat kepada kami untuk terus menyumbang dalam apa jua cara,” jelas beliau.

    Kemeriahan majlis semakin terasa apabila Baginda Sultan berkenan beramah mesra dan melambai kepada rakyat, sementara laungan doa kesejahteraan untuk Baginda terus bergema di udara. Ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan bagi mengabadikan detik bersejarah itu.

    Majlis Ramah Mesra di Padang Haji Sir Omar ‘Ali Saifuddien ini bukan sahaja menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan rakyat, bahkan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan negara di bawah naungan pemerintahan Baginda Sultan yang penuh kasih, hikmah dan kebijaksanaan.

    Kehadiran ribuan rakyat hari ini sekali lagi membuktikan bahawa kasih dan taat setia rakyat terhadap Baginda Sultan tidak pernah pudar, bahkan terus mekar dalam sanubari setiap warga Brunei Darussalam yang sentiasa bersyukur hidup di bawah kepimpinan Baginda yang berjiwa rakyat dan berhati mulia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda