Oleh Nour Maghfirah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Seorang lelaki warga Filipina berusia 51 tahun dijatuhi hukuman penjara 11 bulan hari ini, selepas didapati bersalah mencabul kehormatan seorang juruwang berusia 18 tahun di dalam tandas wanita sebuah gedung serbaneka di Kiulap.
Willie Mandal Garganera, yang bekerja sebagai pembersih di kedai itu, disabitkan kesalahan susulan perbicaraan penuh di hadapan Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana Haji Abdul Rahman pada 5 Jun lalu.
Kejadian berlaku pada pagi 24 Jun 2022, sebelum waktu perniagaan. Menurut keterangan yang dikemukakan di mahkamah, Garganera memasuki tandas wanita dengan alasan untuk menjalankan tugas pembersihan.
Di sana, dia terserempak dengan mangsa remaja itu berhampiran pintu masuk, meletakkan lengannya di bahu mangsa dan mencium pipi mangsa tanpa persetujuannya.
Mangsa segera memaklumkan kepada ibunya, yang membawa kepada pertengkaran di kedai dan seterusnya membuat laporan polis.

Mahkamah turut mendengar, defendan telah beberapa kali masuk ke dalam tandas dalam masa kurang satu minit, rakaman video telah dirakam menggunakan CCTV.
Mahkamah menganggap tindakannya sebagai sengaja, dirancang serta bersifat oportunistik, sekali gus tidak selaras dengan tanggungjawab sah yang diamanahkan dalam kerja-kerja pembersihan.
Garganera telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atas melakukan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan, kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara sehingga lima tahun dan sebat.
Walaupun mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan, sebat tidak diperintahkan kerana defendan dikecualikan di bawah Kanun Tatacara Jenayah disebabkan usianya.
Beliau diwakili Peguam Bela Czar Calabazaron dari Rudi Lee, Annie Kon & Associates, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri Kiprawi mewakili pendakwa raya.