Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga India hadapi pertuduhan sebabkan kematian

    Oleh Nour Maghfirah –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Seorang wanita warga India berusia 43 tahun, Vijaya Bollu, kelmarin menghadapi pertuduhan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya, Penggal 68, yang menyebabkan kemalangan sehingga membawa kepada kematian di persimpangan jalan pada tahun lalu.

    Pertuduhan yang didakwa oleh Pegawai Pendakwa Nazurah Amani Abidin berpunca daripada kejadian pada malam 14 Oktober 2023, antara jam 9 dan 9:40 malam, apabila Bollu, yang memandu kenderaannya, didakwa gagal berhenti di lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Lebuh raya Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Ia seterusnya mengakibatkan perlanggaran dengan kenderaan lain yang bergerak dari kiri ke kanan dengan lampu hijau memihak kepada kenderaan itu.

    Kemalangan itu secara tragis menyebabkan kematian mangsa berusia 62 tahun, yang merupakan penumpang hadapan dalam kenderaan lain. Bollu didakwa memandu dengan cara yang berbahaya kepada orang ramai, menyebabkan kematian.

    Pertuduhan itu membawa hukuman maksimum denda $20,000 dan penjara sehingga tujuh tahun. Di samping itu, di bawah Seksyen 27 (3) Akta Lalu Lintas Jalan Raya, jika sabit akan membawa kepada penggantungan atau tidak dibenarkan memiliki atau mendapatkan lesen memandu seumur hidup, melainkan mahkamah memutuskan sebaliknya atas sebab-sebab tertentu.

    Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni menangguhkan kes kepada 24 Oktober, untuk ditetapkan tarikh perbicaraan. 

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda