Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga Indonesia didakwa bunuh kakak

    JOHOR BAHRU, 31 DIS – Seorang lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di Johor Bahru, Malaysia, hari ini atas pertuduhan membunuh kakaknya di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, minggu lepas.

    Said Afendi, 24, didakwa membunuh Syarifah Ilawati, 42, kira-kira 2 pagi, 24 Disember lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

    Mahkamah menetapkan 18 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh dilapor berkata seorang wanita warga asing maut dipercayai ditikam dengan objek tajam pada awal pagi Ahad lepas. – Bernama

    Lelaki warga Indonesia dihadapkan di Mahkamah Majistret di Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan membunuh kakak kandungnya di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, minggu lepas. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda