KUCHING, 30 DIS – Polis Daerah Kota Samarahan kini giat menjejaki lima pekerja lelaki warga Indonesia, dua daripada mereka didapati positif COVID-19, yang melarikan diri di Jemukan Ulu, Asajaya kira-kira 40 kilometer dari sini sejak minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata dua yang positif COVID-19 dikenal pasti sebagai Harianto Safari, 41, dan Milhan Madi, 23, melarikan diri sejak 22 Dis lepas bersama dengan tiga lagi iaitu Randi, 30, Hamsar, 27, serta Rija Riansyah Tan Rabudin, 29.
“Siasatan awal mendapati mereka diupah untuk membersihkan kawasan ladang di Sadong Land District, Jemukan Ulu, Asajaya telah disaring pada 21 Dis namun pada 22 Dis, kelima-lima warga Indonesia tersebut telah melarikan diri dari tempat tinggal pekerja,” menurutnya dalam satu kenyataan. – Bernama